ALOR SETAR- Satu projek rintis menjadikan Pulau Langkawi sebagai Pulau Rendah Karbon akan dilaksanakan menjelang tahun 2035.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan yang bersesuaian dengan matlamat itu telah dirancang dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 melalui Teras Keenam iaitu ‘Kemampanan Alam Sekitar.’
Katanya, antara usaha yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Langkawi Bandar Pelancongan (MPLBP) adalah memastikan pembebasan gas rumah hijau yang rendah disamping mengadakan pelbagai aktiviti bersifat mesra alam yang mendapat sokongan dan dokongan rakyat.
“Kerajaan negeri juga menggalakkan penggunaan kenderaan mesra alam khususnya kenderaan hybrid dan elektrik,” ujar Sanusi ketika menjawab soalan lisan Dato’ Norsabrina Mohd Noor (ADUN Bandar Baharu) pada sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Jelasnya lagi melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan Kedah Economic Council (KEC), dasar menarik pelaburan bersifat mesra alam ke Langkawi diterapkan dalam prosedur permohonan kelulusan dasar bagi permohonan untuk membangunkan tanah kerajaan oleh pihak swasta.
“Pelaburan dan cadangan pembangunan yang bakal diluluskan haruslah menepati syarat-syarat teknikal yang ditetapkan serta menerapkan elemen mesra alam dan konsep hijau yang bertepatan dengan hasrat negeri untuk menjadikan Pulau Langkawi sebagai ‘Low Carbon Island’,” tambah beliau.
Sumber : Urus Setia Penerangan Darul Aman