Home Melaka

Rencana | PRN Johor : Jangan putus asa singkir parti korup

370
SHARE

Oleh IBNU JANIE

SEMUA orang beriman mahukan pemimpin yang bersih, berintegriti dan tidak mengamalkan rasuah. Sekali pun orang bukan Islam yang tidak beriman, namun mereka yang mempunyai pegangan integriti yang tinggi juga mahukan pemimpin yang bersih.

Rasuah adalah satu perbuatan yang keji dan boleh mendatangkan bencana kepada sesebuah negara. Rasuah juga boleh menyebabkan jenayah berleluasa apabila pasukan penguatkuasa boleh disuap.

Bayangkan jika ini berlaku, apabila ada orang yang mati dibunuh, penjenayah yang membunuh seseorang mangsa itu tidak akan diambil tindakan jika pegawai penguatkuasa mudah dirasuah. Itu bermakna rasuah boleh sehingga ke peringkat mengancam nyawa.

Selama lebih 60 tahun BN yang dipandang sebagai parti yang sering terpalit dengan isu-isu integriti dan rasuah yang parah, sukar ditumbangkan. Mereka selama ini dilihat kebal dengan tidak ada isu yang boleh menyebabkan mereka jatuh.

Namun pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14, BN akhirnya tumbang di tangan Pakatan Harapan (PH). Ia tidak boleh dinafikan sebagai sesuatu yang melegakan banyak pihak kerana rakyat melihat bahawa kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN pada masa itu sangat mencolok mata.

Selepas BN tumbang, ramai yang berfikir bahawa pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti itu sudah pun insaf dengan apa yang berlaku pada diri mereka. Namun hakikatnya tidak. Rakyat kecewa apabila BN dilihat sedikit pun tidak berubah sikap mereka berbanding dahulu walau pun pernah hampir sasau selama dua tahun menjadi pembangkang.

Lihat sahajalah apa berlaku selepas BN berjaya menjadi kerajaan semula di Melaka selepas jatuhnya kerajaan PH yang memerintah semenjak PRU-14 hasil daripada ‘Langkah Sheraton’.

Akibat berlaku kejadian ‘londeh-melondeh’ sesama ADUN BN sendiri ketika itu menyebabkan terbongkarnya ‘skandal pasir’ di Melaka sehingga kerajaan itu tumbang dan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke 15 pada hujung tahun lepas.

Dan apabila BN menjadi kerajaan semula di Melaka selepas PRN negeri ke 15 pada tahun lepas, sebenarnya ramai yang kecewa. Bagaimana sebuah parti yang terkenal dengan korupsi; jatuh kerana korupsi; diberi kuasa semula; terpalit semula dengan isu korupsi, namun berjaya menjadi kerajaan semula?

Sikap pemimpin-pemimpin BN yang mempertahankan pemimpin-pemimpin mereka yang terlibat dengan pelbagai kes mahkamah berkaitan rasuah pula menakutkan rakyat. Lebih-lebih lagi rakyat dapat mengagak bencana yang akan berlaku sekiranya BN berjaya menjadi kerajaan semula di peringkat Persekutuan pada masa akan datang.

Inilah ujian buat rakyat yang mempunyai cita-cita untuk melihat terbentuknya sebuah kerajaan yang bersih. Mereka sangat kecewa apabila sebahagian pengundi masih lagi mengundi parti yang tidak berubah sikap seperti BN sebagaimana yang berlaku di PRN Melaka.

Ramai yang menganggap bahawa seolah-olah memang tidak ada harapan lagi untuk melihat terbentuknya sebuah kerajaan yang bersih di negara ini. Mereka beranggapan seolah-olah ia hanya sesuatu yang hanya wujud dalam kisah dongeng.

Yang menjadi kebimbangan kita ialah sekiranya kerajaan yang berintegriti daripada parti-parti yang berintegriti gagal menjadi kerajaan maka rakyat yang selama ini mahukan integriti akan mengalah kepada golongan yang tidak berintegriti ini.

Namun semua pencinta-pencinta integriti dan ketelusan tidak harus berputus asa. Perjuangan harus diteruskan. Berjuang sehingga kita berjaya atau kita terkorban kerananya.

Sampaikan kepada semua yang ada di sekeliling kita agar kita jangan memberi muka kepada pemimpin yang rasuah. Tidak ada istilah rasuah sebagai dosa peribadi.

Jangan sekali-kali kita berpandangan bahawa ‘tidak kisah seseorang pemimpin itu korup asalkan dia dapat memberi perkhidmatan yang baik untuk rakyat’. Soal perkhidmatan kepada rakyat adalah satu soal lain, sementara soal melakukan rasuah adalah satu soal lain. Soal jenayah.

Lebih buruk lagi, mereka ambil lebih banyak daripada yang mereka bagi kepada rakyat. Hakikatnya rakyat akan dapat kesenangan yang lebih baik lagi sekiranya hasil negara tidak ‘bocor’ ke poket koruptor-koruptor busuk ini. Tetapkan prinsip kita untuk tidak mungkin berkompromi dengan rasuah dan isu integriti.

Penulis adalah Ketua Editor Berita PAS Pusat dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 7 Mac 2022