Home Berita PAS Kedah

200 penduduk Kampung Hujung Bandar dapat manfaat projek Paip Air Masyarakat

281
SHARE

Oleh TASNIM

SIK – Masalah gangguan bekalan air bersih yang membelenggu hampir 200 penduduk Kampung Hujung Bandar akhirnya berakhir selepas Projek Paip Masyarakat siap sepenuhnya Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Sik, YB Tarmizi Sulaiman berkata pihaknya berusaha menyelesaikan masalah air di daerah itu dengan memohon peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Sebanyak RM100 ribu diluluskan KPLB bagi melaksanakan projek bekalan air luar bandar yang kedua ini melibatkan pembinaan sebuah telaga takungan di Puncak Bukit Hutan Rimba Teloi di sini.

“Ia adalah sebagai satu alternatif yang sangat baik untuk bekalan air bersih di daerah Sik ni tika mana pihak kerajaan negeri sekarang ni sedang bertungkus lumus untuk memperbaiki sistem air sedia ada daripada air rawatan.

“Dan dalam masa sama kita usaha untuk masyarakat ini terus mendapat bekalan air bersih secara konsisten, tak ada gangguan dan sebagainya,” katanya.

Hadir sama Pegawai Khas Kawasan kepada YAB Menteri Besar Kedah (Adun Jeneri), Tuan Haji Badrul Hisham Abdul Rahman selaku , pegawai Khas Ahli Parlimen Sik, Tuan Haji Yahya Wahab dan Pengerusi JPKK Kampung Hujung Bandar, saudara Jaszmee Zali.