Home Berita PAS Johor

Semangat kesatuan PN jelma kemenangan

464
SHARE

Oleh ABU HADIF

KULAI, 21 Feb : Semangat kesatuan dalam Perikatan Nasional ini harus bersama kita jelmakan dengan membantu gerak kerja memenangkan calon kita pada Pilihan Raya Negeri Johor kali ini.

Demikian menurut Yang DiPertua PAS Kawasan Kulai, Tuan Haji Kamaludin Sairan dalam ucapan beliau yang disampaikan di Majlis Jelajah Penerangan Perikatan Nasional Parlimen Kulai yang diadakan di Dewan Felda Taib Andak, di sini, semalam.

Beliau turut menyatakan kesyukurannya atas semangat kesatuan antara parti-parti komponen iaitu PAS, BERSATU dan GERAKAN dalam Perikatan Nasional peringkat parlimen Kulai pasti akan dapat menghasilkan pertambahan pengundi yang akan memilih PN.

Kamaludin yang juga Timbalan Pengerusi PN Kulai menambah, pengaruh media sosial harus dipertingkatkan penguasaannya oleh jentera PN dalam berkempen menyampaikan manifesto untuk menarik minat pengundi lebih-lebih lagi di kalangan anak muda.

Beliau berucap dihadapan lebih seratus orang hadirin terdiri daripada para petugas dan penyokong parti-parti komponen PN yang hadir malam tadi.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ketua Penerangan Bersatu Malaysia, Yang Berhormat Dato Wan Saiful Wan Jan dengan ucapan dan penyampaian risalah kempen kepada wakil PN Parlimen Kulai.

Dalam ucapan beliau turut menegaskan untuk rakyat Kulai menolak agenda UMNO-BN yang sengaja mengadakan Pilihan Raya Negeri Johor yang antaranya hanya untuk menyelindung kesalahan dan sabitan kes mahkamah para pemimpin atasan mereka.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Bersatu Bahagian Kulai, Mohd Fairuz Kassim, Pengerusi Parti Gerakan Bahagian Kulai, Tan Heng Choon, Ketua-Ketua Pemuda dan Wanita setiap parti serta barisan jawatankuasa penerangan dan pilhan raya PN Kulai.

Dalam masa yang sama, seramai sepuluh anggota ARC Kulai telah mengambil bahagian dalam konvoi bermotor bersama pengiring bermotor yang lain dari ARMADA Kulai, mengiringi kenderaan perasmi dan para tetamu jemputan sejauh dua kilometer bermula dari pintu gerbang Felda Taib Andak menuju ke dewan dimana majlis diadakan.

Majlis berkenaan turut dihadiri pihak berkuasa Polis Di-Raja Malaysia untuk memastikan pengunjung menetapi SOP sepanjang majlis berlangsung.

Untuk rekod, DUN N50 Bukit Permai merupakan kerusi yang telah dimenangi oleh calon BERSATU-PN, Haji Tosrin Jarvanthi pada PRU-14 yang lalu dengan majoriti 2,531 menewaskan calon dari PAS dan BN.

Sementara itu Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR Berkaitan PRN Johor ke-15 lepas, telah mengumumkan bahawa penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari, mengundi awal pada 8 Mac sementara pembuangan undi adalah pada 12 Mac.

DUN Johor dibubarkan secara rasmi pada 22 Januari lepas dengan perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar selepas baginda menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkaitan perkara itu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari yang sama