PERANAN ULAMAK DAN MADRASAH DI AWAL KEMUNCULAN PAS DI PERAK
Apabila memperkatakan tentang sejarah PAS, pastinya tidak dapat lari daripada pengkajian tentang gerakan kebangkitan di Perak era 50an. Perak dikenali sebagai kubu kuat PAS yang terawal sebelum Kelantan pada 1959. Pastinya kemunculan PAS Perak itu bersusur galur daripada kebangkitan Islam di negeri ini.
Mengikut catatan sejarah, antara tokoh penting dalam menggerakkan Islam di Perak ialah Syed Hussain Faridz (atau Faradz) dari Hadromaut, Yaman. Beliau dilantik oleh Sultan Mahmud Iskandar Shah (1653-1720) sebagai pembesar. Para pengkaji menyifatkan bahawa beliau antara individu penting dalam banyak perbincangan tentang kebangkitan Islam, khususnya di Perak.
Penjajah British datang ke Perak pada 1874. Ketika itu ulamak masih berpengaruh dalam istana. Antaranya ialah Mufti Haji Wan Mohammad Wan Hussein. Beberapa pengkaji menyatakan bahawa beliau adalah orang penting di sebalik kebangkitan Dato’ Maharaja Lela pada 1875.
Antara perkara penting yang perlu dilihat daripada kebangkitan Islam di Perak ialah kemunculan sistem pendidikan Madrasah. Sistem pendidikan ini dilihat menggantikan pendidikan tradisional (pondok) yang banyak di Kelantan, Kedah dan Terengganu.
Pendidikan Madrasah ini telah melahirkan madrasah-madrasah awal seperti Madrasah al Ihsaniah di Teluk Anson (Teluk Intan) pada 1901. Cadangan untuk menubuhkan madrasah ini timbul selepas Sheikhul Islam Tuan Haji Muhammad Salih Bin Haji Muhammad Tayyib mendapat jemputan dan respon yang baik daripada masyarakat tempatan di Teluk Intan .
Antara lain ialah kemunculan Madrasah Idrisiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Ia mula dibina pada 1917 dan memulakan operasi pada tahun 1922 (1340 H). Madrasah yang didokongi oleh pihak istana ini, berkait rapat dengan peranan ulama’ seperti Tuan Guru Syeikh Haji Nawawi bin Haji Tahir (Pak Wi) untuk mengemudi sebuah institusi harapan sultan ketika itu.
Kemudian pada 1934 muncul pula Maahad al Ehya asy Syarif, yang dianggap sebagai kemuncak sistem Pendidikan Madrasah ketika itu. Kemunculan Maahad al Ehya asy Syarif dikatakan bagi menggantikan Pondok Rahmaniah yang diasaskan oleh Tuan Guru Hj Abdul Rahman Mahmud, mertua kepada Ustaz Abu Bakar al Baqir yang ditubuhkan sejak 1918 lagi.
Dalam perkara ini, kita perlu sedar bahawa kemunculan sistem Pendidikan Madrasah ini adalah hasil kesedaran masyarakat setempat terhadap keperluan untuk memahami agama. Selain daripada wujudnya sistem Pondok yang lebih sinonim dengan Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Dalam pada itu, kita juga perlu sedar bahawa kebangkitan Islam di Perak lahir daripada perkembangan pemikiran beberapa reformis di kalangan ulamak. Antaranya Syeikh Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syeikh Junid Thola (1897-1948), Dr Burhanuddin al Helmy (1911-1969), Ustaz Abu Bakar al Baqir (1907-1974) dan ramai lagi.
Selain Ustaz Abu Bakar al Baqir yang menubuhkan Maahad al Ehya asy Syarif, Syeikh Junid Thola juga sinonim dengan penubuhan madrasah. Beliau telah mewujudkan satu kelas pengajian di sebuah Surau di Kampung Lalang, Padang Rengas. Padang Rengas juga pernah dikenali dengan pengajian pondok sejak 1850an oleh Hj Abdul Manan. Perjuangan Hj Abdul Manan disambut oleh Tok Paduka Latif, yang merupakan pembesar jajahan Kerian.
Hasil sambutan hangat terhadap pusat pengajian beliau, akhirnya beliau menubuhkan Madrasah Arabiah Kampung Lalang pada 1930. Sejak 1931, ia dikenali sebagai Madrasah Yahyawiyah. Hasil usaha beliau, lahirlah beberapa madrasah seperti Madrasah al Nasriah Padang Rengas, Madrasah al Ridzuaniah Pokok Assam dan banyak lagi.
Sejarah kebangkitan Islam pastinya tidak dapat lari daripada peranan para ulamaknya. Masing-masing bersungguh-sungguh memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bangkit menentang penjajah. Pemikiran-pemikiran para ulamak dipersembahkan bagi melawan pemikiran-pemikiran penjajah.
Kesedaran-kesedaran ini telah melahirkan gerakan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan Dr Burhanuddin al Helmy (Taiping), Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam (Tanjung Malim), Hizbul Muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar al Baqir (Gunong Semanggol) dan lain lain.
Kemunculan gerakan politik Islam secara terbuka dikatakan dipelopori oleh Dr Burhanuddin al Helmy apabila beliau menganjurkan Persidangan Majlis Agama Se-Malai pada 1944 di Kuala Kangsar. Impak daripada persidangan ini mencetuskan Persidangan Agama di Gunong Semanggol (Ustaz Abu Bakar al Baqir) yang melahirkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947.
Persidangan MATA pada 1948 telah melahirkan Hizbul Muslimin yang sempat beroperasi selama 6 bulan sahaja sebelum ditekan oleh Ordinan Darurat 1948. Penubuhan Hizbul Muslimin inilah yang menjadi pencetus kepada penubuhan PAS pada 1951.
Muhammad Mujahid bin Ir Hj Mohammad Fadzil
AJK Jabatan Penerangan
Badan Perhubungan PAS Perak