Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 17 Feb: Badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Prihatin Harmoni Wanita Melaka (PPHWM) akan bekerjasama dengan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban bagi menjalankan aktiviti memakmurkan masjid terutama di bulan Ramadan, kata penasihatnya, Kintan Man.
Menurut beliau, perkara itu dipersetujui di dalam satu pertemuan ringkas antara PPHWM dengan ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub di pejabatnya di Jasin Bestari, Jasin, petang tadi.
“Alhamdulillah, Persatuan Prihatin Harmoni Wanita Melaka (PPHWM) berjaya mengadakan majlis kunjungan hormat ke atas YB. Dr Mohd Yadzil bin Yaakub, ADUN Bemban.
“Kunjungan PPHWM disambut dengan amat baik dan dalam suasana yang ceria. Perbincangan dua hala berjalan dalam keadaan penuh bermakna,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, Dr Yadzil bersetuju dengan hasrat PPHWM untuk memakmurkan masjid di dalam DUN Bemban khususnya sebagai pengisian program di bulan Ramadan yang akan menjelang tiba.
“PPHWM berharap semoga kunjungan kami sebagai langkah pertama bagi Melaka untuk menjalankan program bermanfaat kepada kariah masyarakat setempat sebagai kelestarian dalam mengharap keberkatan dari Allah S.W.T” kata beliau lagi.
Kintan menyatakan perkara ini dalam satu kenyataan media yang dihantar ke pejabat WARM-Berita PAS sebentar tadi.
Turut hadir di dalam kunjungan ini ialah Pengerusi PPHWM, Normah Abdullah, bersama beberapa orang Ahli Jawatankuasanya, antaranya Shopiah Ahmad dan Musainah Ibrahim.
Untuk rekod, Dr Yadzil adalah ADUN Perikatan Nasional yang telah memenangi DUN Bemban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung hujung tahun lepas.