Home Berita PAS Perlis

Penduduk sambut baik Jualan Prihatin Keluarga Malaysia

260
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 6 Feb: Program Jualan Prihatin Keluarga Malaysia yang berlangsung di hadapan PASTI As Solehin, Behor Temak, di sini hari ini ternyata mendapat sambutan yang cukup baik daripada penduduk setempat.

Program berkenaan dianjurkan oleh Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Kawasan Kangar.

Tinjauan di lokasi program mendapati, orang ramai sudah menunggu di lokasi jualan sejam lebih awal daripada waktu jualan yang telah ditetapkan.

Salah seorang daripada mereka yang ditemui berkata, beliau hadir setelah mendapat maklumat adanya jualan beras 5kg pada harga RM10, yang jauh lebih murah berbanding harga di pasaran, daripada rakan-rakannya.

“Saya pun dengar cerita (maklumat) daripada kawan-kawan, terima kasih juga diucapkan kepada pihak yang menganjurkannya kerana harga beras yang dijual amat berpatutan,” kata Ahmad Chik.

Seorang lagi pembeli, Hashimah Ahmad daripada Kampung Bintong pula mengakui amat gembira kerana penganjuran program jualan tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaannya pada ketika ini.

“Rasa gembiralah, kerana ringanlah beban saya sedikit sebab harga beras yang ditawarkan di sini amat murah berbanding harga biasa,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan DPPNPs, Abd Hadi Halipah yang ditemui berkata, Parlimen Kangar menjadi lokasi ketiga penganjuran Jualan Prihatin Keluarga Malaysia di negeri ini.

“Matlamat utama kami adalah bagi membantu meringankan bebanan kos sara hidup para penduduk di negeri ini khususnya mereka yang kurang berkemampuan untuk menerusi jualan barangan keperluan harian pada harga yang lebih murah.

“Sebagai contoh, pada hari ini kami menawarkan sebanyak 100 kampit beras 5kg pada harga serendah RM10 sahaja, yang biasanya dijual pada harga RM13 sekampit,” katanya.