Oleh MUHAMMAD HADI
LANGKAWI, 31 Jan: Alur pelayaran yang terlalu cetek memaksa operasi feri penumpang bagi laluan Kuala Perlis – Langkawi dihentikan sementara.
Menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kapten Baharin Baharom, pemberhentian sementara operasi feri di laluan tersebut akan berkuatkuasa pada 10 hingga 13 Februari ini.
“Sebelum ini feri penumpang masih boleh beroperasi pada kedalaman aras laut satu meter (m), tetapi dinaikkan kepada 1.5 m dan kemudiannya dinaikkan kepada 1.6 m mengikut maklumat yang disediakan oleh Pusat Hidrografi Nasional (PHN).
“Tetapi sekarang paras laut 1.6 m pun feri tidak boleh beroperasi kerana lumpur telah berkumpul dengan banyak kerana feri tidak beroperasi semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya di sini hari ini.
Baharin bagaimanapun menjelaskan, operasi feri pengangkutan (RORO) tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa kerana reka bentuknya adalah berbeza dengan feri penumpang.
Jelasnya lagi, feri RORO direka untuk mendarat di atas pasir bagi membolehkan kenderaan dipandu masuk ke dalamnya, berbeza dengan feri penumpang yang memerlukan kedalaman air untuk beroperasi.
Justeru, beliau menasihati para pelancong yang ingin ke pulau peranginan tersebut agar menggunakan laluan feri penumpang Kuala Kedah atau menaiki feri RORO di Kuala Perlis.
“Pada waktu feri penumpang Kuala Perlis tidak beroperasi, pihak konsortium akan memfokuskan operasi feri penumpang di Kuala Kedah, dengan purata empat perjalanan dua hala yang akan ditambah sekiranya ada permintaan daripada penumpang,” ujarnya.
Media sebelum ini turut melaporkan rungutan pelbagai pihak termasuk para pengguna perkhidmatan feri akibat isu berkenaan.
Pelbagai cadangaan turut diutarakan kepada pihak kerajaan antaranya melakukan kerja-kerja pengorekan bagi menambah kedalaman alur pelayaran serta memindahkan terminal feri Kuala Perlis ke lokasi lain yang lebih sesuai.