Home Berita PAS Pulau Pinang

Pencemaran Sg Kreh: Jangan tangguh, MBSP, kerajaan negeri, perlu lebih serius

227
SHARE

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR, 31 JANUARI – Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kreh menyambut baik kenyataan terbuka Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato’ Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang menolak sebarang aktiviti hub penternakan babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Pengerusinya, Abdul Razib Abdul Rahim, berkata pihaknya masih berpendirian mendesak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan kerajaan negeri untuk menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan pihaknya sebelum ini berhubung kemelut membabitkan penternakan haiwan berkenaan.

Beliau mempersoalkan keseriusan kerajaan negeri dalam menangani segera isu berkenaan yang telah sekian lama mengganggu aktiviti harian penduduk sekitar.

“Disebalik jaminan kerajaan negeri untuk segera atasi kemelut ini malangnya sehingga kini mengapakah tinja kumbahan najis babi masih dilepaskan ke Sg.Kreh?

“Jika benar-benar serius, bolehkah kerajaan negeri maklumkan kepada rakyat apakah sudah ada tindakan tegas yang dilakukan terhadap penjenayah alam sekitar khususnya Sg.Kreh?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, rata-rata masyarakat setempat yang ditemui meluahkan rasa kesal kerana belum melihat perubahan terhadap pencemaran ini.

“Persoalannya , apakah kerajaan negeri dan MBSP sudah mengenakan tindakan yang tegas terhadap pengusaha-pengusaha ladang babi yang tidak mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016?

“Bagaimana pula dengan tindakan ke atas sebahagian besar pengusaha ladang babi yang tidak mempunyai lesen yang sah? Semua ini menjadi tanda tanya rakyat menuntut jawapan tuntas daripada kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau turut mempertikaikan adakah terdapat pengaruh daripada pengusaha haiwan berkenaan yang menyukarkan pihak berkuasa mengenakan tindakan kepada pengusaha yang tidak mempunyai sistem penyaliran yang baik serta beroperasi secara haram.

Memahami kawasan penternakan berada di perkampungan masyarakat Cina, bagaimanapun menurutnya, pengusaha perlu sedar ia adalah perkampungan kecil yang berada ditengah-tengah perkampungan dan perumahan majoriti orang Melayu.

“Badan bertindak ini akan terus mendesak dan menjadi lidah rasmi kepada masyarakat setempat yang terpaksa menghadapi kemelut ini sejak dari zaman Barisan Nasional (BN) lagi,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, pencemaran Sungai Kereh dipercayai berpunca daripada pelepasan najis babi dari ladang ternakan di Kampung Selamat, terletak kira-kira lima kilometer dari sungai.

Lebih teruk, kawasan itu juga sering dilanda banjir menyebabkan kesan besar kepada Kampung Pokok Machang, Kampung Lubuk Meriam, Kampung Tonsun, Kampung Lahar Yooi, Kampung Sungai Korok dan Kampung Seberang Tok Dol di sini.

Difahamkan, terdapat 77 kandang membabitkan 135,000 babi di kawasan penternakan di Tingkat Selamat 1 hingga 11 kampung berkenaan yang dikatakan sudah beroperasi sejak tahun 1980-an.