Home Berita PAS Pahang

Muslimat AKIFI: Keperibadian ‘Himmah’

194
SHARE

Oleh: AZURA AWANG

PAYA BESAR, 27 Jan :: Lajnah As-Sabiqat Muslimat PAS Kawasan Paya Besar telah mengadakan program Munajat AKIFI secara atas talian, petang kelmarin.

Program yang telah disertai seramai lebih 60 orang peserta adalah kesinambungan yang menjadi rutin selama ini bagi Muslimat PAS, dan merupakan ringkasan dari maksud Alim, Haraki dan Sufi.

Program dimulakan dengan zikir munajat yang diketuai oleh Ustazah Syarifah Radziah, kemudian taujihat oleh Ketua Muslimat PAS Paya Besar, Ustazah Norzilah Hussain dan diteruskan dengan bacaan Yasin selepas solat maghrib secara individu.

Dalam ucapan taujihat itu, Ustazah Norzilah Hussain berpesan dengan meninggikan himmah dan melawan nafsu yang diambil dari nasihat al-Ghazali.

Himmah ialah budi pekerti, kesopanan, kesantunan, adab, ketertiban dalam semua tingkah laku kita. Berhimmah dalam meninggkatkan rohani, jiwa dan dalaman kita.

“Jadilah kematian itu hanya pada badan. Badan kita je orang hantar ke liang lahad, tapi amalan kita akan berterusan dan hidup serta memberi manfaat kepada masyarakat,” kata Ustazah Norzilah.

Beliau juga berkongsi kisah mengenai sahabat Rasulullah SAW, Saad bin Muaz, yang tetap berjihad walaupun dalam keadaan parah ketika perang Khandak dan kematiannya diiringi oleh tujuh ribu Malaikat.

“Jadi, kalau boleh, kita jadilah orang-orang yang hebat yang disukai, disambut oleh makhluk yang berada dilangit. Marilah kita sama-sama buat kerja kerana Islam itu dengan ikhlas sampai ke titisan darah yang terakhir.

“Syaratnya mestilah dengan keikhlasan kita kepada Allah SWT, terutama sekali dengan kerja-kerja jemaah ini,” ujar beliau lagi.

Pada akhirnya Ustazah Norzilah mengingatkan agar jangan menjadi seperti binatang yang hanya memikirkan makan sahaja tanpa memikirkan kerja-kerja membangunkan Islam. Beliau memetik Firman Allah SAW yang bermaksud:

“Dan sungguh, akan Kami isi neraka Jahanam banyak dari kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai” (Al-A’raf:179).

Pimpinan Muslimat PAS Paya Besar yang turut sama dalam program ini ialah Timbalan Ketua, Nursuryati Razali, Naib Ketua, Norsiah Shuib, Pengerusi Lajnah As-Sabiqat, Ustazah Maznon Ishak, Pengarah Nusaibah, Zuhaidah Shahadan serta Ahli Jawatankuasa yang lainnya.