Home Berita PAS Kedah

16 tahun bekalan air terganggu, kini mampu tersenyum

65
SHARE

JENIANG, 27 Jan – Masalah gangguan air yang menghantui penduduk disini berakhir selepas rumah pam SADA yang mampu menampung keperluan sekurang kurangnya 400 penduduk sudah siap dibina sepenuhnya.

Sebelum ini penduduk terpaksa menadah air dari lori SADA dan perlu membeli bekas simpanan air untuk keperluan harian mereka.

Selain bergantung kepada lori SADA, majlis kenduri kendara juga terpaksa menggunakan ehsan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPN) untuk membekalkan air.

Ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Sabri Azit yang merasmikan loji rumah Pam SADA di KEDA Batu 10, Jeniang itu berkata kos pembinaan rumah pam berkenaan menelan belanja sebanyak RM210,000 dan mampu menyelesaikan masalah air di sekitar Kg Batu 34/36, Sg Genuak, Sg Perahu dan Bandar Jentayu.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memahami denyut nadi rakyat terutamanya di kawasan pedalaman ini.

“Penduduk disini hari-hari mengharapkan keputusan memihak kepada mereka untuk merasai hidup seperti orang lain,” ujarnya.

Wakil Penduduk Kg Batu 34, Aishah Awang, 72 tahun berkata dengan adanya rumah pam berkenaan beliau sekeluarga dapat menikmati bekalan air bersih yang mencukupi.

“16 tahun hidup terjejas sebab gangguan bekalan air selalu berlaku.

“Ada waktu, air tak dak langsung kadang selama seminggu, susah nak mandi dan urus diri,” ujarnya.

Beliau berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha mewujudkan rumah pam berkenaan.

Hadir sama, Pengurus Kanan Kedah Tengah SADA Cik Mohd Syukor dan Ahli Majlis MPSP Ustaz Mohd Ismail.