Home Kenyataan Media PAS Johor

Musibah leraikan pertelingkahan suburkan kasih sayang

137
SHARE

RISALAH PENERANGAN

MUSIBAH LERAIKAN PERTELINGKAHAN SUBURKAN KASIH SAYANG

Firman Allah S.W.T

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَاٰنُ قَوْمٍ اَنْ صَدُّوْكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ اَنْ تَعْتَدُوْۘا وَتَعَاوَنُوْا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوٰىۖ وَلَا تَعَاوَنُوْا عَلَى الْاِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۖوَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ شَدِيْدُ الْعِقَابِ.

Mafhumnya: “Dan janganlah (sampai) kebencianmu kepada suatu kaum kerana mereka menghalangmu dari Masjid Al-Haram mendorongmu berbuat melampaui batas (terhadap mereka). Dan tolong menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan janganlah kamu tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat siksaan-Nya”.

Surah Al-Maaidah : 2

Potongan ayat di atas antara lainnya mengingatkan kita beberapa perkara :

1. Umat Islam dan masyarakat keseluruhannya perlu mengelakkan daripada bersikap pendendam dan membalas keburukan dengan keburukan.

2. Tidak boleh berbuat zalim dengan alasan permusuhan dan sejarah silam.

3. Segala bentuk kerjasama harus dibina di atas dasar takwa, keadilan dan kebajikan.

4. Perintah Allah agar saling tolong menolong dalam perkara kebajikan dan ketaqwaan.

5. Allah S.W.T melarang daripada bantu membantu dalam perkara yang membawa kepada dosa dan permusuhan (perpecahan).

Alhamdulillah kita perhatikan di sebalik musibah covid 19 dan musibah banjir yang melanda negara, terdapat banyak iktibar dan hikmah yang boleh diambil oleh semua pihak. Antaranya :

1. Kerjasama dapat dipupuk di kalangan anggota masyarakat untuk saling membantu dan menunjukkan prihatin di antara satu sama lain. Banyak pihak sama ada agensi kerajaan, badan swasta mahu pun NGO sama-sama bertungkus lumus meringankan bebanan.

2. Pertelingkahan dapat dilupakan buat seketika kerana ianya adalah isu kebajikan dan keselamatan semua pihak tanpa ada sempadan politik, ekonomi dan sosial.

3. Perancangan yang lebih berstrategi untuk masa hadapan agar implikasi yang tidak diingini tidak berulang lagi.

4. Merapatkan persaudaraan di antara golongan kaya dan miskin tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik. Kebajikan untuk semua.

5. Memupuk sifat sabar di atas ujian yang menimpa dan bersyukur di atas segala nikmat Allah.

6. Bersederhana dalam segala urusan dan tidak melampaui batasan. Bertindak secara normal bukan menghina dan melulu.

Ini amatlah bertepatan dengan hadis Rasulullah S.A.W.

مَثَلُ الْمُؤْمِنِيْنَ فِيْ تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عَضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى .

“ Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam rasa cinta mereka, kasih-sayang mereka, dan lemah lembut mereka bagaikan satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh lainnya merasakan sakit dengan tidak tidur dan demam”. (Riwayat Muslim)

Semoga panduan Al-Qur’an dan As-Sunnah akan dapat membimbing kita ke jalan yang diredhai oleh Allah.

Sekalung tahniah kepada semua pihak yang prihatin dan sentiasa cakna terhadap isu masyarakat seperti Khidmat Malaysia (KM), Jabatan Amal Malaysia (JAM), PAPISMA dan semua pihak yang bertungkus lumus membantu. Semoga dikurniakan sebaik-baik ganjaran oleh Allah S.W.T.

Al-Faqiiru IlalLah,
Abu Irfan Muhammad Al-Urduni
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor

#IslamPenyelesaian
#PrihatinUntukSemua
#PeneranganPASJohor
#IslamAdilUntukSemua
#IslamMenyatukanUmmah