3 Januari 2022 – Jaudin M Amin
BUKIT GANTANG : Mangsa-mangsa banjir di Taman Harmoni dan Kampung Benus, Bentong meluahkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih di atas khidmat masyarakat yang dilakukan oleh para sukarelawan PAS Kawasan Bukit Gantang hujung minggu lalu.
Kebanyakan mereka masih lagi bertungkus-lumus membersihkan rumah yang diselaputi lumpur dan membuang peralatan rumah yang rosak akibat banjir yang melanda pada 18 Disember lalu.
Bagi Rosli Ariffin, 55, dari Taman Harmoni menganggap banjir besar yang berlaku bukanlah satu bencana sebaliknya sebagai satu ujian yang harus ditempuhi dengan rasa sabar dan redha.
“Terima kasih di atas khidmat masyarakat yang dicurahkan oleh para sukarelawan PAS, NGO dan agensi-agensi lain kepada kami. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya”, katanya.
Mohamed Asri Badiazaman, 50, dari Kampung Benus mengimbau kembali saat-saat cemas sewaktu air naik dengan pantas namun bersyukur kerana sempat menyelamatkan anak-anaknya di tempat selamat.
“Jam 8.30 malam, saya bersama isteri mula mengemaskan peralatan rumah supaya tidak ditenggelami banjir namun air naik dengan pantas menyebabkan kami terperangkap di rumah.
“Walaupun kedudukan rumah kami agak tinggi namun banjir kali ini sangat besar dan menenggelamkan rumah kami sehingga paras bumbung. Mujur ada sebuah tangki air plastik yang dapat kami gunakan untuk menyelamatkan diri sementera menantikan bantuan daripada orang ramai.
“Saya mengucapkan terima kasih di atas sumbangan tenaga Jabatan Amal, Ameerah dan semua yang terlibat meringankan beban yang kami tanggung waktu ini”, tambahnya.
Bagi Sarah Abdul Rashid, 47, banjir yang melanda Kampung Benus kali ini sangat luar biasa dan mengakibatkan kerosakan harta benda yang besar buat mereka sekeluarga.
“Saya terharu dengan pertolongan yang dilakukan oleh para sukarelawan semua serta mendoakan agar anda semua dimurahkan rezeki dan diberikan kesihatan yang baik.
“Sumbangan tenaga yang dicurahkan menjadi inspirasi pula buat kami untuk membantu golongan yang memerlukan di masa hadapan,” tambahnya.
Seramai 35 sukarelawan PAS Kawasan Bukit Gantang yang terdiri daripada anggota-anggota Jabatan Amal Malaysia, Khidmat Malaysia, Briged Muslimat dan Ameerah Malaysia menyertai Misi Bantuan Banjir Pahang selama tiga hari bermula 30 Disember lalu.
Selain membersihkan rumah dan premis perniagaan mangsa-mangsa banjir sekitar Bentong, mereka turut menyampaikan sumbangan dapur gas memasak kepada penduduk sekitar Kampung Benus dan Perumahan Awam Kampung Bukit Piatu.