Home Berita PAS Terengganu

PRN MELAKA | Apa lagi bukti, Cina dan India pun yakin kepada Jakpo

183
SHARE

Hanya Jauhari mengenal manikam, itu lah ungkapan yang sangat tepat bagi saya untuk memberikan gambaran tentang Jaafar Othman atau Jakpo, calon Perikatan Nasional bagi N09, Durian Tunggal. Ia bukan keyakinan biasa kerana untuk menceritakan berkenaan calon secara terperinci, hanya yang mengenali Jaafar sahaja yang layak memberikan pandangan, dan bukan dari temubual rambang atau sembarangan.

Dalam Islam, jika kita mahu mengenali seseorang, kita mesti sekurang-kurangnya pernah bermusafir bersamanya, atau pernah berjiran, berkawan dengannya ataupun menjadi keluarganya. Mereka ini akan dapat memberikan gambaran yang sangat jelas tentang seseorang itu. Bagi memberikan hal sebenar berkenaan Jaafar, saya berusaha menemui beberapa rakan dan jiran yang mengenali beliau, untuk anda semua nilaikan.

Nancy Khoo Siok Cheng, 45 berkata Jaafar yang dikenalinya hampir 40 tahun lalu, ialah dari kalangan pelajar terbaik sekolah yang ‘low profile’, senang didekati, dan semua orang mudah berkawan dengannya. Jaafar juga tidak memilih kawan, walaupun berlainan bangsa, baik Cina, baik India, dia berkawan dengan semua orang. Dia bukan seorang yang rasis.

“Saya berkeyakinan yang dia boleh menang, sebab dengan cara dia yang suka ambil berat kepada masyarakat dan dia seorang yang suka membantu kawan-kawan terutamanya.
Kalau kita minta tolong, tak pernah lah dia tolak.

Kalau kita cakap, Jakpo, kawan kita ni susah, tak ada kerja, dah berbulan tak kerja, dia tak ada pendapatan lain, dan automatik esoknya, dia pergi beli barang, jumpa kawan tu, dan serahkan sumbangan yang ada,” cerita Nancy kepada saya.

Nancy yang sekarang sudah bernama Nurhidayah Abdullah semenjak 20 tahun lalu, berkeyakinan penuh dengan kualiti yang tinggi dimiliki Jaafar untuk menang dan seterusnya mewakili suara penduduk Durian Tunggal. Nurhidayah juga berterima kasih kepada Jaafar yang sedikit sebanyak turut membantu dia mengenali Islam semenjak dahulu.

Vijayan a/l Balakrishnan, 45 yang menjadi rakan Jaafar semenjak 38 tahun lalu, turut bersependapat dengan Nancy yang Jaafar sememangnya seorang yang baik, senang didekati dan mudah bercampur dengan sesiapa sahaja.

“Saya yakin dia boleh menang, kalau kita (pengundi) sama-sama sekolah mesti sokong dia lah, sebab kita ada ‘group’ sekolah.

Cikgu-cikgu pun kalau dengar Jaafar (bertanding), mesti sokong dia, mesti banggalah, sampai boleh jadi wakil rakyat, mesti suka”, kata Vijayan.

Manakala rakan baik beliau, Mohd Sukri Bahrin, seorang peniaga, percaya dengan kelebihan yang dimiliki oleh Jaafar seperti amanah, jujur, melayakkan beliau untuk diberikan kepercayaan memegang amanah ini. Dengan sikapnya yang tidak mengenal serik dalam berusaha dan mengotakan apa yang beliau katakan, akan menjadi tunjang kepada kekuatan beliau jika dipilih nanti.

“Dia memang akan buat sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh sampai berjaya, tak semua orang boleh buat begitu.
Dan bagi saya, dengan sikap beliau yang begitu, saya yakinlah dia memang layak untuk memimpin Dun Durian Tunggal ini,” Sukri menyatakan kepercayaannya.

Dalam masyarakat pula, beliau sanggup bersusah payah dengan penduduk mengatasi masalah setempat. Boleh menjadi imam, dipercayai orang sekeliling sehingga ada jemaah yang berlainan parti, sudah merasa serba salah untuk memilih kembali calon pilihan mereka sebelum ini.

Jiran beliau, Alias Abdul Khalil, 42 pula menggambarkan Jaafar seorang yang sangat peramah. Jika melihat jiran-jirannya, beliau tidak kedekut melemparkan senyuman atau melambaikan tangan, paling kurang, bagi menghormati jiran-jirannya. Semenjak Alias berpindah di kawasan perumahan itu, 11 tahun lalu, Jaafar dilihat tidak mempunyai sebarang masalah dengan penduduk taman, mudah mesra dan didekati yang menyebabkan Alias terasakan sudah lama kenal dengan Jaafar.

“Saya rasa dia memang mempunyai bakat untuk menjadi seorang pemimpin, bagi saya lah, pasal saya tahu cara dia bergaul dan bagi saya, dia adalah pilihan terbaik sebab benda dah depan mata saya dan rasa seronoklah jika dia diberi peluang,” ujar Alias yang mengaku, dia tidak cenderung kepada mana-mana parti.

Jadi apa lagi orang Durian Tunggal mahukan dari calon Perikatan Nasional, Jaafar Othman ini yang sudah diakui oleh orang yang mengenali beliau. Saya hanya mengambil secara bertanggungjawab kenyataan daripada orang-orang yang berautoriti untuk penilaian anda semua pengundi N09.

Mohd Nasir Abdullah
18 November 2021