Home Minda Presiden

Terus beristiqamah

245
SHARE

Minda Presiden PAS
TERUS BERISTIQAMAH


PAS selamat bermuktamar dengan menunaikan agenda tahunan, melakukan muhasabah diri terhadap ahli dan jemaah yang diimani akan kebenarannya bagi mendapatkan keredhaan Allah SWT. Pada masa yang sama, diyakini dengan benar dan betul bahawa amalan menegakkan Islam diterima oleh Allah SWT.

Allah SWT menyebutkan kepada Rasul-Nya yang menjadi teladan kepada seluruh manusia sebagaimana firman-Nya:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ١١٢ وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ١١٣ 

“Oleh itu, hendaklah kamu (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh berada atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu;, dan (juga) orang-orang yang telah bertaubat bersamamu berbuat demikian; dan janganlah kalian melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kalian kerjakan. (112); Dan janganlah kalian cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kalian berlaku demikian) menyebabkan kalian dibakar oleh api neraka, sedang kalian tidak mempunyai sesiapa pun sebagai penolong selain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan itu) kalian tidak akan mendapat pertolongan. (113).” (Surah Hud: 112-113)

Janganlah terpengaruh dengan mereka yang buta al-Quran yang lebih parah daripada kalangan yang buta huruf. Mereka itu terus berada dalam kekeliruan di tengah-tengah semua orang dan kumpulan yang mengaku diri masing-masing adalah betul, termasuklah Iblis yang merupakan ketua syaitan paling sesat yang mendabik dada dirinya betul.

Setiap penganut Islam yang beriltizam dengan solat diwajibkan berdoa pada setiap rakaat dengan doa yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ٥ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ٦ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ٧

“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Tuhan yang kami sembah, dan kepada Engkau sahajalah kami memohon pertolongan. (5); Tunjukilah kami jalan yang lurus (benar). (6); (Iaitu) jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni‘mat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7).” (Surah al-Fatihah: 5-7)

Rasulullah SAW pernah berwasiat dengan firman Allah SWT:

وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَنْ سَبِيلِهِ ذَلِكُمْ وَصَّاكُمْ بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ١٥٣

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang lurus (benar), maka hendaklah kalian mengikutinya; dan janganlah kalian mengikuti jalan-jalan (selain daripada Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kalian daripada jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah memerintahkan kalian, supaya kalian bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)

Baginda SAW menyebut ayat ini sambil melakarkan satu garisan yang betul di atas tanah dan mempunyai cabang yang banyak, dan bersabda:

هَذِهِ السُّبُلُ لَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ.

“Pada setiap cabang ini, tidak akan ada walaupun satu cabang melainkan terdapat syaitan yang menggoda.” (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azhim, jld. 3, ms. 328)

Islam sahaja agama yang benar, kerana ia datang daripada Allah SWT dan disampaikan oleh kalangan mereka yang dilantik dengan nama Rasul yang wajib bersifat benar, amanah, berani menyampaikan dan bijak. Selain itu, mereka juga disertakan tanda-tanda luar biasa yang dinamakan dengan mukjizat.

Para Rasul seluruhnya berakhir dengan diutuskan Nabi Muhammad SAW. Walaupun Baginda SAW sudah wafat, namun agama Islam yang disampaikannya tetap dipelihara oleh Allah SWT. Hal ini sebagaimana dinyatakan oleh firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ٩

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya Kamilah yang benar-benar memeliharanya.” (Surah al-Hijr: 9)

Tetap berterusan wujudnya kumpulan yang menyambung perjuangan Islam yang tidak mati dengan kewafatan Rasulullah SAW, bersama al-Quran yang terus dipelihara oleh Allah SWT terselamat daripada diselewengkan.

Islam itu satu sahaja yang terdiri daripada dua konsep yang terkandung dalam ajarannya, iaitu ‘thawabit’ dan ‘mutaghayyirat’.

‘Thawabit’ ialah perkara yang tetap dan tidak berubah dalam aspek rukun serta prinsip. Manakala, konsep ‘mutaghayyirat’ memerlukan kepada perubahan serta tidak terkeluar daripada rukun dan konsep umum dalam aspek furu‘ (cabang) bagi menghadapi situasi dan realiti yang mengalami perubahan dalam kehidupan manusia. Maka, lahirnya beberapa mazhab yang berbeza dalam perkara cabang, tetapi mereka tidak berpecah dalam perkara rukun dan dasar.

Janganlah terpengaruh dengan para orientalis dan golongan yang jahil, termasuklah mereka yang buta petunjuk al-Quran, apabila meletakkan label jenama Barat terhadap Islam seperti ortodoks, liberal, konservatif dan progresif yang diguna pakai oleh agama lain atau teori dan ideologi ciptaan manusia.

Sabda Rasulullah SAW:

‌مَنْ ‌أَحْدَثَ ‌فِي ‌أَمْرِنَا ‌هَذَا ‌مَا لَيْسَ ‌مِنْهُ ‌فَهُوَ ‌رَدٌّ.

“Sesiapa yang mencipta perkara baharu dalam urusan agama ini, maka ia ditolak.” (Riwayat al-Bukhari 2697 dan Muslim 1718)

Perlembagaan PAS dalam Fasal 7 telah menetapkan bahawa sebarang keputusan dan pendekatan parti ini tidak boleh melampaui hukum tertinggi iaitu al-Quran, Hadis, Ijma‘ para ulama’ yang muktabar dan Qiyas yang nyata.

Bagi mengawasi sebarang tindakan agar tidak melampaui dalam perkara dasar dan rukun tersebut, maka PAS meletakkan Majlis Syura Ulama’ sebagai badan yang bertanggungjawab memelihara dan memantau. Ahli Majlis Syura Ulama’ pula dipilih daripada kalangan yang memenuhi syarat-syarat keilmuan Islam daripada kalangan ahli PAS. Mereka dipilih oleh para pemimpin yang telah dipilih oleh para perwakilan dalam Muktamar PAS Pusat.

Dalam pada itu, bagi menjamin semua anggota terus beristiqamah, maka diwajibkan berbaiah (dengan nama Allah SWT dan aqidah Islam) kepada semua tugas penting dalam PAS seperti menjadi wakil rakyat dan sebagainya. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا١٠

“Sesungguhnya orang-orang yang berbaiah (berjanji setia) kepadamu (wahai Muhammad untuk berjuang menentang musuh), sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan janji setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya, maka akibat daripada tidak menyempurnakannya akan menimpa dirinya sendiri; dan sesiapa yang menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 10)

Setiap ahli PAS yang ikhlas mempercayai bahawa sesiapa yang melanggar baiahnya akan menerima padah di dunia dan di akhirat. Bahkan, ahli PAS yang setia meyakini bahawa mereka yang khianat terhadap baiah itu pasti akan menerima padahnya.

Kesimpulan daripada perkara yang disebutkan di atas menciptakan ciri-ciri bagi sebuah parti atau kumpulan Islam yang beristiqamah. Perkara ini sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang pasti wujud sepanjang zaman berpandukan firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ٥٤ إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ٥٥ وَمَنْ يَتَوَلَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا فَإِنَّ حِزْبَ اللَّهِ هُمُ الْغَالِبُونَ٥٦

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa antara kalian berpaling tadah daripada agamanya (menjadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga mengasihi-Nya; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Hal yang demikian itu merupakan limpah kurniaan Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya. (54); Sesungguhnya Penolong kalian hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku‘ (tunduk menjunjung perintah Allah). (55); Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu sebagai penolongnya (maka berjayalah dirinya), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang pasti menang. (56).” (Surah al-Ma’idah: 54-56)

Istiqamah bersama PAS boleh menukar pemimpin, mengubah strategi dan pendekatan. Namun, perkara dasar, rukun dan hala tujunya tidak berubah dan tidak berganjak sekali-kali. Sehingga PAS boleh bersefahaman dengan semua pihak, demi menyelamatkan manusia bersama Islam yang adil kepada semua.

PAS tidak bergantung kepada ahli falsafah dan ilmuwan tanpa berpandukan hidayah, malah tidak terpengaruh dengan media murahan tanpa harga diri. Sebaliknya, kami berpegang kepada perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا٥٩

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kalian kepada Allah dan taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya – jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Hal yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 59)

Biarkan mereka menyalak sekuat-kuatnya laksana anjing dan serigala, namun perjalanan kita terus beristiqamah bersama Islam dalam memimpin perpaduan umat dan menyelamatkan mereka dalam sebuah keluarga Malaysia.

Kami berkeyakinan kepada janji Allah SWT kepada golongan yang mengacau dan menggoda terhadap perjuangan Islam dengan tangan, lisan dan tulisan, bahawa mereka pasti akan mendapat kecelakaan. Sebaliknya semua yang ikhlas dalam beramal soleh untuk menegakkan Islam, pasti akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.

Alhamdulillah, Muktamar Tahunan PAS telah berjaya diadakan dengan tenang, dan mengecewakan musuh-musuhnya sehingga tidak tertahan diluahkan rasa kecewanya. Mudah-mudahan, semua pihak mendapat kelebihan yang menjadi kurniaan Allah SWT yang telah dijanjikan.

Firman Allah SWT:

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلَا نَصَبٌ وَلَا مَخْمَصَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَطَئُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ الْكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَيْلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمْ بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ إِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ١٢٠ وَلَا يُنْفِقُونَ نَفَقَةً صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً وَلَا يَقْطَعُونَ وَادِيًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمْ لِيَجْزِيَهُمُ اللَّهُ أَحْسَنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ١٢١

“Hal ini demikian kerana, sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejaki sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan daripada kalangan pihak musuh – melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka, (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (120); Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil, ataupun yang besar; dan tidak mereka melintas sesuatu lembah, melainkan ditulis pahala bagi mereka, supaya Allah membalasnya dengan balasan yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan. (121).” (Surah al-Tawbah: 120-121)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 6 Rabi’ul Akhir 1443 / 11 November 2021