Oleh AHMAD FARIS
SRI GADING, 7 Nov : PAS Cawangan Parit Besar memanfaatkan cuti sempena Deepavali dengan mengadakan program gotong royong di sebuah rumah seorang warga emas, Sadimah Ibrahim, di sini, semalam.
Warga emas berkenaan yang juga balu kepada Allahyarham Pak Yunus merupakan penduduk asal yang tinggal di Kampung Parit Besar ini kini uzur dan tidak dapat melihat kerana masalah penglihatannya.
Pengarah program, Sukaini Ahmad menyatakan bahawa atas rasa prihatin, beliau dan ahli cawangan turun membantu membersihkan kawasan halaman dan membetulkan dinding rumah Sarimah yang telah berlubang serta reput.
“PAS sebuah parti yang sinonim dengan kerja kebajikan, selain mengedarkan bakul makanan kami juga membina skuad prihatin yang berfungsi membantu kerja-kerja seperti ini,” kata beliau.
Beliau juga berkata program pertama kali dianjurkan oleh Lajnah kebajikan PAS Cawangan ini dirancangkan akan diadakan sebanyak dua kali dalam sebulan.
“Saya mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada PAS Cawangan kerana kerja-kerja amal seperti ini dan diharap akan ada lebih ramai lagi penduduk kampung yang akan terlibat”, kata Setiausaha Kampung Parit Besar, Asykurullah Sidon.
Turut terlibat menjayakan program Pengerusi Surau Parit Besar, Taib Awang dan Ketua Pemuda PAS Cawangan, Suffian Ahmad.