Home Berita PAS Perak

Jabatan Amal Perak pantau SOP muktamar

317
SHARE

Oleh: JAUDIN M AMIN

BUKIT GANTANG: Bagi memastikan Muktamar berjalan lancar dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan Covid-19, Jabatan Amal Negeri (JAMN) Perak menempatkan anggotanya di setiap lokasi berlangsungnya acara tahunan ini.

Sekurang-kurangnya 30 anggota dari seluruh negeri bertugas mengikut giliran sepanjang dua hari berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 yang berlangsung secara maya di Dewan Tuan Guru Samad Noh, Pusat Tarbiah PAS Perak, Air Kuning, dekat sini hari ini.

Menurut Pengarah Jabatan Amal Negeri Perak, Abdul Karim Abdul Rasid, tiga perkara menjadi perhatian pihaknya dalam muktamar kali ini iaitu pematuhan SOP, kelancaran pergerakan perwakilan khususnya sewaktu pemilihan serta keselamatan sekitar Pusat Tarbiah dan lalulintas.

Terangnya, kira-kira 124 perwakilan mula tiba seawal jam 8 pagi dan mula memenuhi perkarangan muktamar dengan pematuhan SOP yang maksium antaranya mengimbas suhu dan mySejahtera serta duduk dalam kedudukan yang telah dijarakkan.

Dalam pada itu, kongsinya berikutan bencana banjir yang sedang melanda beberapa kawasan dalam negeri Perak, JAMN Perak sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi segala kemungkinan.

“Kami sentiasa berhubung dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi-agensi berkaitan bagi membantu (mereka) menghadapi bencana ini.

“Kami turut menggerakkan anggota-anggota “semut merah” (Jabatan Amal) menjalankan Ops Cuci bagi membantu mangsa-mangsa banjir membersihkan kediaman mereka,” ujar beliau.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa JAMN Perak sentiasa komited menggerakkan program-program kebajikan rakyat walaupun berdepan pelbagai komitmen.

“Berikutan negeri Perak beralih ke fasa keempat, JAMN Perak turut merancang meneruskan beberapa program yang tertangguh antaranya Program JAM Turun Kampung, Mega Blood Donation 2021 dan Kursus Asas untuk kira-kira 100 anggota baru Jabatan Amal Negeri,” ujarnya lagi.