Oleh : ABU HADIF
KULAI, 6 Nov : Ucapan Dasar Presiden PAS yang disampaikan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 pagi ini disifatkan sebagai tepat pada masanya apabila amanat dan pesanan yang diberi ke arah pemantapan Jentera Pilhanraya PAS untuk menghadapi PRU15 yang bakal menjelma.
Beberapa perwakilan muktamar dari Johor yang ditemuramah selepas mendengar ucapan dasar Presiden PAS yang disiarkan secara dalam talian pagi tadi menyokong penuh ucapan dasar tersebut sambil menyifatkan ucapan dasar itu sebagai ucapan yang menarik dan dilihat memberi beberapa peringatan penting serta menggariskan tindakan yang perlu disusuli oleh ahli dan pimpinan parti pelbagai peringkat.
Perwakilan dari Kawasan Labis, Ustaz Basri Din Kamar menyifatkan ucapan dasar yang disampaikan merupakan satu petunjuk yang jelas daripada Tuan Guru Presiden tentang halatuju PAS dalam menghadapi PRU15 yang dijangka tidak lama lagi.
Beliau juga menyatakan, usaha-usaha dalam mewujudkan persefahaman antara tiga parti besar (PAS, UMNO dan BERSATU) menunjukkan betapa PAS cenderung dengan bersungguh untuk membentuk ke arah penyatuan Melayu yang akhirnya akan memberi manfaat bersama.
“Ketegasan Tuan Guru Presiden untuk tidak berkompromi dengan sebarang isu yang melibatkan perkara yang tidak telus memberi isyarat yang jelas tentang prinsip PAS ketika ini.
“Secara keseluruhannya, ucapan dasar Tuan Guru tidak bersifat retorik hanya sekadar ucapan, tetapi ia merupakan pelaksanaan secara praktikal dan mengenai tujuh arahan kepada jentera pilhanraya yang dihuraikan, memang tepat pada masanya untuk bekalan setiap perwakilan dan bawa ke kawasan dan cawangan untuk dilaksanakan,” kata Ustaz Basri.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Kawasan Labis merupakan perwakilan yang hadir bersama dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat di Le Grandeur Palm Resort Senai, di sini pagi ini.