OLEH: ROZAIDI TAIB
ALOR SETAR – Kesemua penyandang jawatan Yang Di Pertua PAS (YDP) Kawasan negeri Kedah mengekalkan jawatan masing-masing manakala kawasan Kulim – Bandar Baharu, menamakan Dr Amir Suffian Yusoff menggantikan Ustaz Hassan Razak dalam sesi pemilihan Jawatankuasa PAS Kawasan-kawasan bagi tempoh 2021-2023 yang diadakan pada 15,16 dan 17 Oktober yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Negeri Kedah, Ustaz Mohd Rosli Azmi menyatakan majoriti ahli PAS di kawasan mengekalkan perjawatan YDP untuk sesi yang baru ini didokong kepercayaan bagi mengukuhkan persiapan menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 .
“Terdapat tiga kawasan yang berlaku pertandingan untuk jawatan YDP iaitu Sungai Petani, Pokok Sena dan Kuala Kedah manakala baki 12 lagi menang tanpa bertanding,”
“Walaupun terdapat pertandingan namun saya melihat ianya dalam suasana yang amat harmoni serta berlegar dalam peraturan yang ditetapkan oleh parti.” katanya.
Mengenai perjawatan selain YDP, Mohd Rosli memaklumkan sebanyak lima kawasan tidak berlaku sebarang pertandingan bagi mengekalkan perjawatan Jawatankuasa sedia ada.
Mengulas kaedah pengundian, beliau menyatakan undian secara e-voting atau pengundian elektronik telah digunakan buat pertama kali selaras dengan arahan Jawatankuasa pemilihan parti peringkat PAS Pusat.
“Walaupun pemakluman untuk kaedah e-voting di buat dalam masa yang singkat namun kami berjaya juga menjalankannya meskipun ramai pewakilan yang masih kekok untuk menggunakan kaedah baru ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Penolong Setiausaha 1 Badan Perhubungan PAS Kedah turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas pemilihan parti yang bertungkus lumus menyediakan kemudahan dan perkakasan bagi menjayakan kaedah baru dengan lancar.
YDP yang mengekalkan perjawatan masing-masing ialah Zubir Ahmad(Langkawi), Dr Ustaz Ab Ghani Ahmad(Jerlun), Ustaz Zulhazmi Haji Osman(Kubang Pasu), Ustaz Mohd Azam Abdul Aziz(Padang Terap), YB Wan Romani Wan Salin(Pokok Sena), YB Senator Ustaz Ahmad Yahya(Alor Setar), Dr Ustaz Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi(Kuala Kedah), YB Dato’ Dr Mohd Hayati Othman(Pendang), Ustaz Musoddak Haji Ahmad(Jerai), YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor(Sik), Ustaz Haji Azizan Hamzah(Merbok), YB Ustaz Ahmad Fadzli Hasyim(Sungai Petani), Ustaz Hassan Saad(Baling) dan Ustaz Shahruddin Ibrahim(Padang Serai).