Dari Tirai Dewan Muslimat PAS Selangor | Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor
Oleh : Umar Al-Hayawi
HULU LANGAT, 12 Oktober – Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor beberapa hari lalu, menyahut seruan GENGGAM Selangor dengan meneruskan misi ziarah kebajikan dalam fasa endemik negara ini bagi membantu masyarakat yang memerlukan bantuan sejajar dengan objektif GENGGAM.
Beberapa pimpinan Muslimat PAS negeri yang diketuai oleh Ketua DMPNS sendiri, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan bersama Pengarah Pilihan Raya DMPNS Puan Norazlin Md Samsuddin telah turun bersama Muslimat PAS Kawasan Hulu Langat, di sana.
Turut serta dalam ziarah kebajikan tersebut termasuk pimpinan Dewan Muslimat PAS Kawasan Hulu Langat yang diketuai oleh Timbalan Ketua Muslimat, Puan Normah Palidin.
Menurut Muslimat PAS Selangor, siri ziarah tersebut adalah bersempena dengan program Genggam Selangor. Mereka telah menyantuni golongan ibu tunggal dan wanita di sekitar Parlimen Hulu Langat iaitu di Taman Perkasa dan Nanding, diiringi pihak Jentera Halwa DUN Dusun Tua.
Ahli rombongan ziarah ini telah menyampaikan sumbangan kepada para penerima sambil bertanya khabar serta beramah mesra berkongsi kisah suka dan duka yang dilalui. “DMPNS mendoakan agar mereka yang diziarahi dan juga ibu-ibu tunggal di luar sana terus sabar dengan ujian dan bangkit untuk meneruskan kehidupan” jelas mereka.
Firman Allah SWT,
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
(Surah al-Maidah: 2)
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor