Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 219 kes positif, 1 kematian

116
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 4 Okt: Sebanyak 219 kes positif dan satu kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini seperti dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Tambah JKN Melaka lagi, daripada 219 kes positif baharu yang direkodkan itu, 213 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, enam kes daripada kes import B dan tiada kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Menurut laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 127 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 37 kes di Daerah Jasin dan 55 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 501 kes sembuh baharu direkodkan hari ini menjadikan sebanyak 4831 kes masih dirawat, berkurang berbanding 5114 kes semalam dengan 37 kes adalah daripada kes ICU dan 17 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kes kematian

Menurut JKN Melaka, hanya satu kes kematian direkodkan hari ini yang dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan seorang mangsa perempuan berumur 55 tahun.

Laporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan sementara satu kluster dilaporkan tamat hari ini iaitu Kluster Industri Lot Tujuh yang merupakan kluster tempat kerja dan telah mengumpul 52 kes positif.

Laporan seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan sebanyak 8075 kes baharu direkodkan hari ini berbanding 9066 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes ialah sebanyak 2,285,640 kes.

Sarawak masih mencatatkan kes tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 1189 kes, diikuti oleh Kelantan dengan 1020 kes,
Pulau Pinang (853), Johor (781), Selangor dengan 686 kes, Sabah (677), Terengganu (636).

Sementara Kedah pula merekodkan 628 kes, Perak (548), Pahang (522), Kuala Lumpur (151), Negeri Sembilan (108), Perlis (36), Putrajaya (19) sementara Labuan pula merekodkan hanya dua kes.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.