Home Berita PAS Kedah

KDYMM Tuanku Sultan zahir penghargaan kepada kerajaan negeri

289
SHARE

ALOR SETAR, 20 Sept – Hilang pekerjaan, tiada pendapatan dan masalah hubungan sosial antara krisis utama melanda rakyat akibat pandemik COVID-19.

Berikutan kesan tersebut, kerajaan negeri telah membelanjakan RM32.4 juta untuk membantu rakyat yang terjejas dalam tempoh pandemik ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah menzahirkan rasa bangga terhadap Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor dalam menangani permasalahan yang timbul.

“Beta menghargai Menteri Besar serta seluruh kepimpinan kerajaan yang telah membantu rakyat sepanjang tempoh sulit ini. Beta difahamkan RM32.4 juta telah dibelanjakan dalam usaha membantu rakyat sepanjang pandemik COVID-19.

“Perbelanjaan ini melibatkan pelbagai bantuan seperti bakul makanan, pinjaman perniagaan, bantuan tunai serta bantuan perubatan,” titah baginda ketika ucapan perasmian KDYMM sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri secara dalam talian di Istana Anak Bukit, hari ini.

Menurut Haji Sanusi, nasihat yang diberikan oleh KDYMM Tuanku Sultan akan diberi perhatian serius terutamanya berkaitan pandemik COVID-19.

“Kerajaan negeri akan berusaha dalam membantu rakyat menghadapi pandemik ini dan perjalanannya yang menuju kepada fasa endemik pada masa hadapan. Persiapan diri, rakyat, kerajaan dan seluruh masyarakat negeri Kedah akan diberi perhatian,” katanya.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”

Sumber : Urus Setia Penerangan Darul Aman (UDPA)