Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Mangsa dengan sejarah penyakit ‘perokok kronik’ antara 3 maut!

137
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 24 Ogos: Seorang mangsa lelaki yang dicatatkan mempunyai sejarah penyakit ‘perokok kronik’ adalah antara tiga kes kematian baharu Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka mangsa yang berusia 47 tahun dan berasal dari Mukim Klebang Besar, Daerah Melaka Tengah itu disahkan positif Covid-19 pada 11 Ogos lepas.

Sementara dua lagi mangsa ialah seorang wanita berusia 86 tahun juga dari Klebang Besar dan seorang lagi lelaki berusia 56 tahun dari Mukim Krubong, Daerah Melaka Tengah.

Kes positif baharu

Kata laporan itu lagi, sebanyak 396 kes positif baharu direkodkan hari ini dengan 390 kes adalah daripada kategori kes tempatan, lima kes daripada kategori kes import B dan satu kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 186 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 73 kes di Daerah Jasin dan 137 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 339 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 8709 kes masih dirawat dengan 85 kes adalah daripada kes ICU dan 24 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 396 kes hari ini ialah, 90 kes melibatkan kluster kilang; 98 kes melibatkan kontak keluarga; satu kes melibatkan institusi penjara; 17 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 161 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

Dua kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Industri Sawit Jalan Rim, dalam Daerah Jasin melibatkan 38 kes positif sementara satu kluster lagi ialah Kluster Jalan Perindustrian Rembia Satu dalam Daerah Alor Gajah melibatkan 30 kes positif setakat ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 18.4 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 13.3 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 20,837 kes positif baharu, 211 kes kematian baharu dan 18,613 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 262,713 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,593,602 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 4645 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 3376 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.