Home Berita PAS Kedah

Suara terakhir si Suami

184
SHARE

Oleh NORJULIANA YAACOB

YAN – “Arwah suami ada ‘call’ saya mengatakan ada pokok besar tumbang, belum sempat saya balas percakapan dia talian terputus.

Demikian kata Nor Nazinatul Aqilah Nazri, 26 yang kematian suami Mohd Faizal Zohir 28 dalam kejadian kepala air di Titi Hayun pada 18 Ogos lalu.

“Debar dihati saya hanya Allah yang tahu, isteri mana yang tak sedih memikirkan nasib suami ketika itu,” katanya.

Menurut Nor Nazinatul suaminya memang sering berhubung dengannya ketika waktu kerja.

“Sebelum kejadian hanyut tu dia sempat menghantar beberapa video dan saya tengok air memang deras masa tu.

“Selepas terputus talian saya terus menghubungi pihak berkuasa melaporkan keadaan suami,” katanya.

Nor Nazinatul berkata sepanjang misi pencarian suami beliau sentiasa mengharapkan keajaiban agar Allah selamatkan suaminya.

Namun begitu perancangan Allah sebaliknya, suami beliau tidak dapat diselamatkan.

“Namun saya masih bersyukur dapat melihat jasad suami yang ditemui di Kampung Kuala Keda Sungai Udang pada 19 Ogos sehari selepas kejadian,” katanya.

Tambah Nor Nazinatul dia berasa sangat sedih dan hiba memikirkan keadaan dirinya yang perlu membesarkan dua anak seorang diri.


“Mengenangkan keadaan anak-anak yang rapat dengan suami membuatkan hati saya berasa sebak.

“Tambahan pula depa baru berusia 4 dan 1 tahun memang masih belum faham kejadian ni dan asyik bertanya tentang suami,” katanya.

Nasib Nor Nazinatul mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Jerai YB Ustaz Sabri Azit dan juga pihak Perkeso yang turut hadir ke rumahnya untuk menyerahkan khairat kematian.

Hadir sama, menyampaikan faedah PERKESO berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama; Pendidikan dan Sumber Manusia Kerajaan Negeri Kedah Brigediar Jeneral (B) Dato’ Najmi Haji Ahmad dan Pengarah PERKESO Kedah Encik Mohamad Haron Othman serta YB Air Hitam Cikgu Azhar.

/tasnim