Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 21 Ogos: Sebanyak 18 kes kematian, 882 kes positif dan lima kluster baharu Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut JKN Melaka, daripada 18 kes kematian baharu yang direkodkan hari ini, 17 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, manakala satu kes lagi di Daerah Alor Gajah.
Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada tujuh wanita dan 11 lelaki yang berusia antara 23 dan 92 tahun.
Kes positif baharu
Kata laporan itu lagi, daripada 882 kes positif baharu itu, 863 kes adalah daripada kategori kes tempatan, dua kes daripada kategori kes import B dan 17 kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.
Kata laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 538 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 110 kes di Daerah Jasin dan 234 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Sebanyak 366 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 8525 kes masih dirawat dengan 93 kes adalah daripada kes ICU dan 27 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Lima punca utama jangkitan bagi 882 kes hari ini ialah, 221 kes melibatkan kluster kilang; 220 kes melibatkan kontak keluarga; 17 kes melibatkan institusi penjara; 97 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 265 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.
Laporan kluster
Sebanyak lima kluster baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini yang mana kesemuanya melibatkan kluster tempat kerja.
Kluster pertama ialah Kluster Jalan Haji Malek-2, dikesan di Daerah Jasin melibatkan 106 saringan dan 23 kes disahkan positif; kluster kedua ialah Kluster Industri Jalan EP Serkam 1, dikesan di Daerah Jasin melibatkan 332 saringan dan 36 telah disahkan positif.
Kluster ketiga ialah Kluster Industri Rembia yang dikesan di Daerah Alor Gajah melibatkan 144 saringan dan 40 kes telah disahkan positif; kluster keempat pula ialah Kluster Jalan Bukit Rambai yang dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan 500 saringan dengan 47 kes telah disahkan positif.
Manakala kluster kelima pula adalah Kluster Industri Teknologi Cheng 12 yang dikesan di Daerah Melaka Tengah melibatkan 487 saringan dengan 54 kes telah disahkan positif.
Kes seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 18.0 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 12.4 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.
KKM juga melaporkan sebanyak 22,262 kes positif baharu, 223 kes kematian baharu dan 18,576 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 260,880 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,535,286 kes.
Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 7011 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 2651 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
|