Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 19 Ogos: Sebanyak 737 kes positif dan lapan kes kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut JKN Melaka, daripada 737 kes positif baharu itu, 729 kes adalah daripada kategori kes tempatan, lima kes daripada kategori kes import B dan tiga kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.
Kata laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 430 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 96 kes di Daerah Jasin dan 211 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Sebanyak 521 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 7682 kes masih dirawat dengan 93 kes adalah daripada kes ICU dan 31 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Lima punca utama jangkitan bagi 737 kes hari ini ialah, 194 kes melibatkan kluster kilang; 189 kes melibatkan kontak keluarga; tiga kes melibatkan institusi penjara; 22 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 225 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.
Laporan kematian
Menurut JKN Melaka, daripada lapan kes kematian baharu yang direkodkan hari ini, empat kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, manakala masing-masing dua kes lagi di Daerah Alor Gajah dan Jasin.
Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada lima wanita dan tiga lelaki yang berusia antara 43 dan 63 tahun.
Laporan kluster
Tiada kluster baharu direkodkan di negeri ini untuk hari ini.
Kes seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 17.6 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 11.7 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.
KKM juga melaporkan sebanyak 22,948 kes positif baharu, 178 kes kematian baharu dan 21,720 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 255,534 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,489,460 kes.
Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 7175 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 2583 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
|