Oleh: FARIDAH KAMARUDDIN
Maksud AKIFI dalam konteks rencana ini ialah: Alim, Haraki dan Sufi.
Rumah tangga Muslim yang AKIFI bermaksud rumah tangga yang disuasanakan dengan ciri Alim iaitu setiap ahlinya cinta kepada ilmu, ciri Haraki iaitu setiap ahlinya dididik untuk melibatkan diri dalam gerak kerja jemaah dan aktiviti dalam masyarakat, dan ciri Sufi yang bermaksud setiap ahli sentiasa meletakkan pergantungan kepada Allah SWT dan mendekatkan diri dengan Allah SWT dengan menghidupkan hati dengan zikrullah dan amalan-amalan soleh yang banyak dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Bila membincangkan proses pembentukan rumah tangga haraki, kita sebenarnya sedang membincangkan tentang asas pembentukan masyarakat Islam yang bermula daripada diri kita sendiri dan keluarga.
Keluarga merupakan sebuah negara Islam yang kecil yang beramal dengan prinsip Islam yang bermatlamatkan sebuah keluarga Islam yang sebenar. Kegagalan membentuk asas ini bermakna, jauh lagilah untuk dapat membentuk sebuah masyarakat Islam yang di dambakan oleh seluruh pejuang Islam.
Di antara langkah-langkah yang perlu diperhatikan dan dilaksanakan untuk membentuk sebuah rumah tangga Muslim yang AKIFI adalah:
1. Niat Yang Baik
Tujuan perkahwinan adalah untuk membina rumah tangga yang di dalam reda, kasih, hidayah dan keampunan Allah SWT. Di samping itu untuk membina sebuah keluarga Islam, yang menjadi asas bagi pembentukan masyarakat Islam.
2. Pemilihan Bakal Suami Dan Isteri Yang Baik
Lelaki dan wanita mestilah memilih pasangan yang baik akhlaknya dan kuat pegangan agamanya sekalipun tidak memiliki harta kekayaan, keturunan bangsawan dan kecantikan luar biasa.
Perkahwinan yang dibina kerana cinta kepada Allah SWT dan benci kerana Àllah SWT akan melahirkan keluarga yang soleh, menjadi keluarga yang mampu menunaikan amanah dan melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT.
3. Menitik Berat Soal Agama
Islam menitik beratkan soal agama dalam memilih jodoh. Seandainya soal agama tidak di utamakan, maka institusi keluarga akan menghadapi masalah dan menjadi punca berlaku kehancuran dalam rumah tangga.
Ketua keluarga kena tunjukkan teladan yang baik seperti mendirikan solat, berpuasa, memerintahkan ahli keluarga menutup aurat, mendidik isteri dan anak-anak faham agama dan mengikut syariat Islam.
Kita tidak mahu rumah tangga ahli PAS menjadi fitnah pada perjuangan. Dengan itu kita mesti mendidik anak-anak selari dengan acuan Islam kerana masyarakat sentiasa memerhatikan rumah tangga ahli PAS.
4. Pergaulan Yang Baik Antara Suami Dan Isteri
Isteri adalah amanah Allah SWT yang perlu dijaga dengan baik dan menggaulinya dengan bijaksana. Isteri bukan insan yang sempurna seperti kata kiasan ‘suami bukan malaikat dan isteri pula bukan bidadari’.
Pasangan mesti saling bersabar, saling memaafkan, saling menghormati, saling mencintai kerana Allah SWT, saling bertolak ansur, saling menasihati, saling ambil tahu dan lain-lain.
5. Keluarga Yang Dilengkapi Dengan Ilmu Fardu Ain Dan Kifayah
Keluarga bahagia yang pernah wujud di zaman Rasulullah SAW dan di zaman kegemilangan Islam sehingga mereka dapat membentuk ummah yang gemilang kerana mereka adalah orang-orang yang cintakan budaya ilmu iaitu budaya ‘iqra’.
Ramai ilmuan Islam seperti Imam Syafie, Hambali, Maliki, Hanafi, Ibnu Sina dan lain-lain mampu menguasai ilmu fardu ain dan fardu kifayah melalui pendidikan dan galakan yang diberikan oleh keluarga mereka.
6. Mempraktikkan Konsep Kepimpinan Islam
Institusi keluarga terdiri daripada ayah, ibu dan anak-anak. Ini merupakan gambaran pada satu masyarakat kecil dalam sebuah negara dan melaksanakan konsep kepimpinan dalam kehidupan manusia.
Ayah sebagai ketua, ibu sebagai timbalan dan anak-anak sebagai rakyat. Ketaatan dan kepatuhan akan berlaku selagi ketua keluarga mengarahkan kepada sesuatu yang tidak bercanggah dengan agama Allah SWT dan tidak menyuruh melakukan perkara maksiat.
7. Isteri Menumpahkan Ketaatan
Seorang isteri mesti memandang suami sebagai ketua keluarga dalam rumah tangga. Sebagai seorang ketua keluarga, suami mesti berperanan untuk menjaga rumah tangganya daripada sebarang perkara dan pengaruh yang dapat merosakkan kebahagiaan dan hubungan baik mereka suami isteri.
Isteri mesti menumpahkan seluruh ketaatan kepada suami dan membantu suami menjaga keutuhan rumah tangga dan memelihara aib dalam rumah tangga dari diketahui oleh orang luar.
Isteri mesti ingat, penat lelahnya mengurus rumah tangga dan mendidik serta membesarkan anak-anak akan mendapat ganjaran besar dan martabat tinggi di sisi Allah SWT.
Apabila isteri tidak pedulikan tanggungjawab, membantah dan tidak taat suami seperti solat, puasa dan tidak menutup aurat, meninggalkan rumah tanpa izin suami dan lain-lain, maka dia akan dimasukkan ke dalam golongan isteri yg nusyuz.
8. Menjaga Kehormatan Keluarga
Suami dan isteri sentiasa menjaga kehormatan dan amanah masing-masing demi kebahagiaan, cinta dan ketenangan dalam rumah tangga.
Setiap amanah ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Suami sentiasa memantau isteri dan tidak membiarkan isteri dari berbuat sesuatu yang tidak baik kerana ini boleh menyebabkan suami menjadi dayus.
9. Bergurau Senda Memeriahkan Rumah Tangga
Rumah tangga mesti dihiasi dengan suasana damai dengan keromantikan seorang suami atau isteri. Jauhkan dari sentiasa serius kerana ia akan mengakibatkan suasana tegang dan hambar dalam rumah tangga.
Rasulullah SAW sentiasa memenuhi peluang ketika bersama isteri Baginda dengan senda gurau dan bermain-main kejaran dengan Aisyah isteri Baginda. Walaupun Baginda seorang Rasul tapi baginda tidak pernah melupakan peranannya terhadap isterinya.
Rasulullah SAW sentiasa membuatkan isteri baginda gembira, mendapat didikan terus dari Baginda, mengecapi kasih sayang, senyum riang dan menjadi teman tempat bermanja dengan Baginda.
10. Suami Berhias Untuk Isteri Dan Isteri Berhias Untuk Suami
Suami isteri mesti saling menjaga kebersihan diri, memakai wangi-wangian dan menjauhi dari terbau yang tidak enak dari tubuh masing-masing.
Untuk menjaga kerukunan rumah tangga, suami isteri juga mesti memakai pakaian tercantik yang mereka mampu untuk memikat pandangan mata pasangan, kemas dan menjaga keterampilan yang menarik kerana ketika di luar rumah suami terdedah dengan pengaruh kecantikan pelbagai ragam wanita.
11. Mewujudkan Sifat Kasih Sayang
Sebuah keluarga bahagia sentiasa berkasih sayang. Mereka saling melengkapi dalam melaksanakan amanah dalam rumah tangga sama ada suami, isteri dan anak-anak.
Mereka juga akan melahirkan sifat kasih sayang kepada kedua-dua ibu bapa masing-masing.
12. Tolak Ansur Dan Kerjasama
Sekiranya sifat tolak ansur, kerjasama dan maaf memaafkan dapat dipupuk, suami isteri dapat membentuk keluarga haraki yang sebenarnya.
Maka suami isteri mesti mendidik diri dan mengejutkan pasangan untuk bangun malam bersolat tahajud, membaca Quran, berzikir munajat, berdoa dan lain-lain.
Keluarga haraki bukan aktif di medan tarbiyah, dakwah dan gerak kerja politik sahaja, sedang di sudut sufinya semakin jauh dan pudar dari Allah SAW, leka dan lalai.
13. Memberi Semangat Supaya Melaksanakan Amanah Jemaah
Seorang isteri akan gagal meneruskan agenda perjuangan apabila suami tidak pernah memberikan semangat kepada isteri untuk melibatkan diri dalam perjuangan dan menjaga anak-anak yang ditinggalkan ketika isteri mengikuti program.
Begitu juga buat suami, isteri mesti sentiasa memberi sokongan dan memudahkan urusan kehidupan serta perjuangan suami seperti apa yang dilakukan oleh ummul mukminin Khadijah kepada Rasulullah SAW.
14. Warisilah Perjuangan Islam Kepada Anak-anak
Satu musibah dan kerugian besar yang akan menimpa jemaah seandainya pimpinan dan ahli tidak mewariskan warisan perjuangan kepada anak-anak.
Hal ini berlaku kerana ibu bapa lupa dan leka mentarbiyah dan menurunkan semangat penglibatan dan pengorbanan dalam perjuangan kepada anak-anak. Bila dewasa, mereka tidak melibatkan diri dalam perjuangan dan ada juga yang berlainan fikrah perjuangan dengan ibu dan ayah mereka.
KESIMPULAN
Rumah tangga muslim yang AKIFI bukan boleh dibina dalam satu saat tetapi memakan masa proses yang panjang dan perlu kepada istiqamah.
Tapak binaannya adalah aqidah, keikhlasan dan kefahaman serta penghayatan dalam diri suami isteri itu sendiri. Anggota jemaah mesti bersedia untuk dirinya dicanai atau ditarbiyah untuk dapat membina rumah tangga haraki sebelum kita mendirikan masyarakat Islam di muka bumi.
– Kuantan, 17 Ogos 2021.