Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 13 Ogos: Sebanyak 723 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, lapor Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut laporan itu, daripada keseluruhan 723 kes positif baharu yang direkodkan itu, 713 kes adalah daripada kategori kes tempatan, sembilan kes daripada kategori kes import B, satu kes daripada kategori import A dan tiada kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.
Kata laporan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 485 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 76 kes di Daerah Jasin dan 162 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Sebanyak 526 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 6270 kes masih dirawat dengan 86 kes adalah daripada kes ICU dan 23 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Lima punca utama jangkitan bagi 723 kes hari ini ialah, 125 kes melibatkan kluster kilang; 270 kes melibatkan kontak keluarga; tiada kes melibatkan institusi penjara; 24 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang, sementara 199 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.
Kes kematian
Menurut JKN Melaka, sebanyak 11 kes kematian direkodkan di Negeri Melaka hari ini di mana enam kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah, tiga kes di Daerah Alor Gajah dan dua kes di Daerah Jasin.
Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada lapan orang wanita dan tiga lelaki yang berusia antara 30 dan 80 tahun.
Laporan kluster
Satu kluster baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini iaitu Kluster Jalan Melaka Jasin melibatkan sebuah pusat perlindungan di Jasin.
Punca jangkitan dipercayai secara sporadik dan seterusnya menular dalam kalangan penghuni dengan 22 kes positif direkodkan setakat ini.
Kes seluruh negara
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 16.5 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 9.8 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.
KKM juga melaporkan sebanyak 21,468 kes positif baharu, 277 kes kematian baharu dan 17,025 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 241,187 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,363,683 kes.
Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 7449 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2183 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
|