Selangor PAS Youth (SPY) Corner | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Oleh : Zurk Ahmad
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Hulu Langat
Semalam, 17 Julai 2021 Kementerian Kesihatan Malaysia melalui CPRC telah mengeluarkan statistik kes positif harian berdasarkan ketegori pesakit.
Daripada jumlah 12,528 kes baharu pada 17 Julai 2021, sebanyak 98.2% pesakit berada dalam kategori 1 dan 2.
Apa yang menarik perhatian adalah pesakit dalam kategori 4 dan 5 mewakili 0.9% daripada jumlah kes positif iaitu sebanyak 108 kes. Manakala sebanyak 0.9% (112 kes) adalah dalam kategori 3.
98.2% berada dalam kategori tidak bergejala dan bergejala ringan yang berpotensi besar untuk sembuh dengan cepat.
Kita difahamkan sebelum ini bahawa vaksin tidak dapat menghalang kita daripada dijangkiti COVID-19 namun begitu ia dapat membantu tubuh kita untuk melawan serta mengurangkan kesan jangkitan.
Data-data terkini menunjukkan kes-kes COVID-19 yang serius mencatat penurunan yang ketara dengan pemberian vaksin.
Petugas KKM yang telah menerima vaksin COVID-19 terawal, didapati hanya 1.26 peratus dalam kalangan mereka dijangkiti COVID-19 selepas lengkap divaksinasi. Sebanyak 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala dan tiada yang mengalami COVID-19 kategori 5.
Manakala kumpulan warga emas yang merupakan penerima fasa 2 dalam pemberian vaksin COVID-19 telah memberikan impak yang positif. Trend kemasukan ke Hospital Sungai Buloh bagi kes positif kategori 4 dan 5 telah mengalami penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan yang lepas.
Apakah program vaksinasi sudah mula memainkan peranan?
Mungkin belum ada jawapan yang konkrit. Tunggu sedikit masa lagi. Jangkaan capaian 80% Herd Immunity semakin hampir.
Sementara itu, jangan lupa untuk terus semak olahan infografik terbaru untuk hari ini dan hari-hari seterusnya. InsyaAllah sinar yang ditunggu akan hadir.
Tidak lama lagi Ogos menjelma. Bersiap sedia untuk bersama mengibar Jalur Gemilang dengan megah dan bangga. Malaysia boleh! Kita boleh! Terus berdoa!
18 Julai 2021 | 08 Zulhijjah 1442H
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor