Home Rencana PAS Perak

Jangan biarkan hari-hari ini berlalu

182
SHARE

Jangan biarkan hari-hari ini berlalu
Oleh : Ummu Nidhal

SUBHANALLAH, Alhamdulillah
Allahuakbar….
Maha baiknya Allah yang masih meminjamkan kita usia dan kesempatan untuk berada dihari-hari yang penuh berkat diawal bulan Zulhijjah ini

Disebutkan dalam sebuah hadits yang berasal dari Ibnu Umar ra. Nabi SAW bersabda yang ertinya,

“Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan amal salih di dalamnya lebih dicintai oleh-Nya daripada hari yang sepuluh (sepuluh hari pertama dari Dzulhijjah).”
(HR. Ahmad, disahihkan Syaikh Ahmad Syakir)

Sahabat..
Jangan kita biarkan hari-hari terbaik ini berlalu begitu sahaja dengan asyik merungut dan menghitung banyaknya kes jangkitan covid 19.

Lebih baik kita duduk bertafakur, menghitung dosa-dosa yang masih berkepok dan merenung amal soleh yang masih sedikit.

Sudah terampunkah dosa-dosaku yang lalu?
Sudah terangkatkah segala amal ibadah , solat, puasa, zikir, sedekah ku?

Jangan dikisah berapa banyaknya kluster yang muncul saban hari dek kegagalan manusia mematuhi SOP.
Biarkan saja pihak kerajaan dan para pemimpin berfikir dan berusaha bagaimana untuk menangani masalah yang melanda seluruh negara tika ini.

Lebih afdal kita mengenang nasib golongan yang terkesan akibat PKP.
Masih cukup kah makan minum dan keperluan mereka dalam meniti hari?
Bagaimanakah cara untuk meringankan sedikit bebanan yang mereka tanggungi ?

Andai ada anak kecil di kawasan kejiranan kita yang kelaparan disaat kita tersandar kekenyangan, apa yang nak kita jawab bila dipersoal di hadapan tuhan?

Kerana itu mari kita manfaatkan hari-hari di awal Zulhijjah ini dengan memperbanyakkan amal ibadat sebagai ganti kepada ibadah haji yang tidak dapat kita tunaikan.

Para ulama’ menggariskan beberapa amalan yang digalakkan dilakukan sepanjang 10 hari terawal di hulan Zulhijjah ini berdasarkan hadis-hadis sahih tinggalan rasulullah s.a.w antaranya :-

1. Puasa sunat bermula satu hingga sembilan Zulhijjah.

2. Membanyakkan lafaz zikir Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillah , Allahu akbar.

3. Melipat gandakan amalan sunat seperti membaca Al Qur’an, solat sunat dan bersedekah.

4. Menjauhi maksiat, menjaga tutur kata, perbuatan dan tulisan serta memperbaharui taubat.

5. Membanyakkan bertakbir, tahmid dan tahlil disepanjang hari-hari tasyrik.

6. Melakukan ibadah korban bagi yang berkemampuan.

Dari Ibn Abbas radhiallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda ertinya,

“Tidak ada hari dimana suatu amal saleh lebih dicintai Allah melebihi amal saleh yang dilakukan di sepuluh hari ini (sepuluh hari pertama Dzulhijjah, pen ).”

Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, termasuk lebih utama dari jihad fi sabilillah? Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Termasuk lebih utama dibanding jihad fi sabilillah. Kecuali orang yang keluar dengan jiwa dan hartanya (ke medan jihad), dan tidak ada satupun yang kembali (mati dan hartanya diambil musuh, pen).”
(HR. Al Bukhari, Ahmad, Abu Daud, dan At Tirmizi.

MashaAllah, Allahuakbar. !!!!

Sesungguhnya mensia-siakan peluang beribadah di hari-hari terbaik bulan haji ini tentunya menjadi satu kerugian besar buat kita para petugas dan pendokong gerakan Islam ini yang sentiasa mendambakan pahala jihad fisabilillah.

Jadi bertindaklah mulai detik ini.
Jangan dikisah kerajaan yang kononnya gagal.
Tetapi muhasabahlah diri, sekiranya kita yang sebenarnya gagal menundukkan keakuan dan masih lalai dengan kesibukan duniawi hingga terlupa merebut ganjaran pahala berganda dengan beramal ibadah di hari-hari teristimewa ini.