Home Berita PAS Johor

Bendera putih | Nilai kemasyarakatan kian terhakis

211
SHARE

Bendera Putih dan Kegagalan Nilai Kemasyarakatan Serta Sistem Kebajikan Negara.

Pandemik Covid-19 telah mengajar kita banyak perkara dan mendedahkan banyak kelemahan kita semua.

Cuma saya ingin fokus kepada terhakisnya nilai kemasyarakatan dalam diri kita semua.

Kempen kibaran bendera putih mempunyai tujuan yang baik tetapi secara tidak langsung, ia telah menggambarkan betapa buruknya komunikasi sesama kita.

Gajet dan media sosial yang sekian lama telah mempengaruhi kehidupan kita semakin menunjukkan sisi hodoh komunikasi tersebut.

Ia menunjukkan kita betapa perkongsian masalah diri dan keluarga bukan lagi hanya dengan keluarga atau masyarakat setempat tetapi sudah menjadi milik bersama khalayak netizen.

Tiada lagi bertegur sapa sesama jiran.

Tiada lagi panggilan telefon sesama ahli keluarga bertanyakan masalah.

Seolah sistem kemasyarakatan yang dulu kita banggakan sudah tidak wujud lagi.

Inilah harga mahal yang kita semua terpaksa bayar demi perkembangan pembangunan dan teknologi.

Sedikit demi sedikit apa yang berlaku di dunia barat, akan menjadi budaya baru kita semua, malah lebih cepat lagi.

Cuma malangnya, kita lebih cepat mengambil sisi hodohnya daripada sisi-sisi yang baik di dunia barat.

Terlalu banyak sisi baik teknologi dunia barat yang kita tidak gunakan.

Ambil contoh pemberian bantuan bagi mereka yang terkesan. Kita masih lagi gunakan kaedah yang sama sejak merdeka.

Jabatan Kebajikan Masyarakat masih lagi beri bantuan sekadarnya yang tidak cukup untuk seisi keluarga.

Kemudian pihak Zakat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), parti-parti politik datang bertali arus untuk membantu.

Bersifat ad hoc dan tidak menyelesaikan masalah. Sasaran yang sama, keluarga yang sama dan orang yang sama.

Kenapa tidak diperbaiki sistem bantuan kebajikan dengan data populasi yang dikemaskini dan dihubungkan dengan data-data yang lain secara terus.

Kenapa tidak diperbaiki sistem bantuan kebajikan dengan data populasi yang dikemaskini dan dihubungkan dengan data-data yang lain secara terus.

Misalnya secara automatik setiap bayi yang lahir telah didaftarkan dalam sistem pendaftaran negara.

Secara automatik mereka akan didaftarkan dengan Kementerian kesihatan untuk rawatan dan vaksinasi, dengan Kementerian Pendidikan untuk persekolahan dan kemasukan universiti, dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk pengundi berdaftar 18 tahun, dengan Lembaga Hasil (LHDN) apabila mula bekerja.

Secara automatik juga akan didaftar dengan Kementerian Kebajikan sekiranya jatuh di bawah paras kemiskinan.

Dibantu secara automatik bergantung kepada jumlah ahli keluarga, secara automatik juga apabila anak-anak masuk ke universiti. Semuanya atas talian. Data yang lengkap untuk kebaikan semua.

Pada masa yang sama, duit zakat, derma orang ramai melalui NGO diuruskan oleh satu entiti yang sama yang dipercayai dengan telus dan dipercaya dengan menggunakan data yang sama supaya derma tidak hanya kepada orang yang sama dan melebihi keperluan.

Sungguh ideal bunyinya. Tapi itulah yang dilakukan di dunia barat yang sepatutnya kita ambil dan bukannya budaya komunikasi sifar dengan mengangkat bendera putih.

Sekiranya ia boleh menjadi kenyataan, tidaklah perlu lagi wakil-wakil rakyat digunakan untuk menjadi alat memohon derma tetapi sebagai agen bagi meimikirkan perubahan dasar yang baik untuk negara.

Seperti mimpi yang kita harap menjadi realiti satu hari nanti.

 

Dr Mazri Yahya

Timbalan Pesuruhjaya

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor