Home Minda Presiden

Pandemik Covid-19 dan pandemik politiking

226
SHARE

Minda Presiden PAS 

PANDEMIK COVID-19 DAN PANDEMIK POLITIKING


Seluruh dunia kini masih dilanda penularan wabak pandemik Covid-19, sehingga tidak ada negara yang telah berjaya menghapuskan pandemik ini dan kesan sampingannya terhadap kehidupan rakyat. Termasuklah juga negara paling maju dan kaya, kerana apa yang berlaku adalah ketetapan Allah SWT yang tiada kuasa dapat melawan kehendak-Nya.

Apa yang berlaku adalah ujian kepada manusia supaya melakukan muhasabah diri dan berikhtiar dengan akal dan ilmu yang dikurniakan oleh Allah SWT. Ada sebahagiannya mendapat pahala bersabar dan bersyukur kalau beriman. Ada juga yang menanggung penderitaan di dunia dan akhirat kalau tidak beriman.

Hanya kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna boleh menghapuskan wabak ini pada bila-bila masa. Adapun kerajaan manusia tetap menghadapi kekurangan dan kelemahan, serta wajib melakukan muhasabah bagi menampung kekurangan tersebut. Hanya mereka yang jahil agama sahaja mencari kelemahan dan kekurangan untuk diuar-uarkan, tanpa sama-sama tolong-menolong dalam menghadapi keadaan yang sangat mencabar seluruh dunia dan penduduknya.

Penyair Arab berkata:

إِذَا تَمَّ شَيْءٌ بَدَا نَقْصُهُ … تَرَقَّبْ زَوَالًا إِذَا تَم.

“Apabila selesai melakukan sesuatu (oleh manusia), ternyatalah ada kekurangannya … Tunggulah kemusnahannya, apabila dikatakan sudah sempurna (berjaya) semuanya.”

Terkini pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan amaran berlakunya gelombang yang lebih berbahaya dan meminta semua negara agar melakukan persediaan lebih awal dari sudut pencegahan dan rawatan.

Keadaan semasa masih membimbangkan, sehingga angka kematian akibat wabak di sesetengah negara sudah mengatasi mangsa korban peperangan.

Dalam keadaan wabak Covid-19 yang sedang mengganas, ada pula negara yang dilanda dengan wabak politiking kerana terdapat mereka yang terlalu gila untuk berkuasa, tanpa mempedulikan nyawa rakyat yang sedang diancam wabak.

Kita baru sahaja menyaksikan pilihan raya Amerika Syarikat khususnya pilihan raya pemilihan Presiden, dalam negara yang dianggap mengamalkan demokrasi paling maju. Presiden Amerika Syarikat sebelum ini, Donald Trump memenangi pilihan raya dengan menggunakan kekayaannya bersama lobi Zionis yang menguasai media, tidak mahu menerima kekalahannya, sehingga menggunakan segala cara termasuklah menggunakan samseng jalanan dan berdemonstrasi menawan bangunan Kongres. Keadaan tersebut menyebabkan berlakunya pertembungan dengan pihak keselamatan, sehingga memakan korban nyawa kerana ada yang terbunuh dan kesannya masih lagi hangat.

Manakala di Mali (Afrika) pula, tentera merampas kuasa bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya. Perkara yang sama juga berlaku di Mesir, sehingga Presiden yang dipilih oleh rakyat dipecat dan meninggal dunia dalam tahanan. Bahkan masih ramai lagi yang ditahan dan sudah ada yang dihukum mati.

Di Malaysia pula, wabak politiking yang dialami agak berbeza, tetapi virusnya merebak dengan sangat meluas. Bermula apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi pilihan raya dengan janji dan manifesto yang sebahagian besarnya adalah bohong dan menipu. Mereka juga mendapat dukungan media sosial upahan tanpa sempadan yang menyebarkan pelbagai penipuan, berita palsu dan sebagainya. Sehingga mereka berjaya mencapai kemenangan dan menubuhkan sebuah kerajaan yang membawa pendekatan liberal yang tidak sesuai dengan masyarakat negara ini.

Kemuncaknya, mereka berani mencabar kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja juga dicaabar. Komunis yang ganas dan lebih ganas daripada penjajah pula disanjung oleh mereka. Begitu juga kalangan puak LGBT dan seumpamanya mula bebas menuntut hak dan ada pula kelompok dalam kerajaan PH yang mendukungnya.

Akhirnya, kerajaan PH tumbang secara demokrasi apabila adanya keinsafan dalam kalangan sebahagian Ahli Parlimen yang kembali ke pangkal jalan bagi menyelamatkan  negara. Bak kata Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA:

الرُّجُوعُ إِلَى الْحَقِّ خَيرٌ مِن التَّمَادِي فِي الْبَاطِلِ.

“Kembali kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan berada dalam kebatilan.”  (Syamsuddin al-Qurtubi, Tafsir al-Qurtubi, jld. 3, ms. 70)

Namun begitu, pandemik politiking gila untuk berkuasa semula masih menjalar penularan wabaknya, sehingga tidak mempedulikan wabak Covid-19 yang mengancam nyawa rakyat.

Setelah mereka gagal melalui pendekatan meniru langkah Perikatan Nasional mengambil akuan sumpah (SD) Ahli Parlimen, mereka mengemukakan undi percaya dan undi tidak percaya yang gagal juga, di samping berusaha menubuhkan jajaran baharu, sehinggalah terkini mengheret semua pihak berpolitiking.

Raja-Raja Melayu sepatutnya tidak diheret berpolitiking kerana Baginda masih banyak tugas-tugas yang lebih penting daripada melayan kehendak mereka yang berpenyakit politiking itu.

Ada pula mereka yang masih tidak sedar dirinya sudah jadi pembangkang dan bukan lagi kerajaan, dengan berlagak membuat kenyataan seolah-olah masih berada di atas takhta.

Kedua-dua pandemik tersebut menyusahkan rakyat. Sepatutnya pandemik Covid-19 ditangani dengan penuh penumpuan oleh semua pihak bagi menjaga nyawa seluruh rakyat yang tidak boleh ditangguhkan lagi. Bahkan wajib bertolong-menolong kerana wabak ini tidak mengenal siapa, tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan fahaman politik.

Adapun peranan politik boleh ditunggu sehinggalah PRU-15 diadakan, rakyat pula jangan mudah lupa sehingga ditipu berulang kali. 

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Zulqa‘dah 1442 / 5 Julai 2021