Kempen Beli Lebih, Beri Jiran : Menyumbang Di Kala Susah Atau Senang – Dari Tirai Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor | Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor
Oleh : Ustazah Hajah Wan Hasrina Bt Wan Hassan
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor
Pelbagai lapisan masyarakat terkesan dengan fenomena pandemik COVID19 ketika ini. Cuma perbezaan tahap kesannya kepada individu dan keluarga bergantung pada tahap kewangan dan ketahanan masing-masing.
Cantik dan indahnya Islam dalam menjaga iman, amal dan hak bermasyarakat. Kita disarankan untuk memikirkan dan menggambarkan satu suasana iaitu “ada orang lain yang lebih susah dari kita”. Maka ianya akan mendidik iman kita untuk meletakkan Allah sebagai punca rezeki, mendidik amal kita untuk bersedia memberi dan berkongsi. Buah ranum kepada iman dan amal tersebut ialah wujudnya suasana masyarakat harmoni.
Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah: “Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?” Rasulullah SAW menjawab:
“Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu, hartamu pasti akan menjadi milik warismu.” (Riwayat al-Bukhari)
ALLAH SWT berfirman di dalam Surah Ali-‘Imran ayat 133-134 yang bermaksud :
“Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), ALLAH SWT mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Khusus kepada ahli masyarakat yang menerima ujian di kala ini. Marilah kita terus merayu dan bergantung hanya kepada Allah SWT kerana Allah sahaja yang mengatur rezeki kita. Rapat dan dekatlah bersama kejiranan dan jamaah terutama institusi-institusi masjid, surau, taman-taman perumahahan, jawatankuasa kampung dan NGO-NGO. Di sinilah kekuatan umat Islam. Jangan mengalah dengan suasana dengan melakukan sesuatu yang boleh dimanipulasikan dan dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Tetapi, bangkitlah untuk meneruskan kehidupan dengan cara dan acuan yang dianjurkan oleh Islam.
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor menyeru kepada semua khususnya rakyat negeri Selangor, marilah kita semarakkan amal menyumbang dikala ujian menimpa. Inilah ujian yang memberi ruang seluaskan untuk umat manusia saling peka dan cakna khususnya dalam kejiranan masing-masing. Banyak bukan ukuran tetapi memberilah biarpun sedikit. Yakin dan berimanlah bahawa Allah sedang mengaturkan sesuatu yang lebih baik seandainya kita ikhlas dalam berkongsi.
Mari kita berazam dan laksanakan hari ini, Beli Lebih Beri Jiran.
30 Jun 2021 / 19 Zulkaedah 1442
Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor