Home Berita PAS Perak

Pengambilan khas guru secara ‘One-Off’ Inisiatif terbaik KPM | DPPN Perak

218
SHARE

24 Jun 2021 | 13 Zulkaedah 1442H

Dewan Pemuda Pas Perak menyokong penuh pengambilan khas guru secara “One-Off” seperti yang dimaklumkan oleh YBMK Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin dalam satu sidang media khas di Putrajaya pada 20 Jun 2021 yang lepas.

Menurut beliau, pengambilan khas ini melibatkan seramai 18 702 orang guru yang akan mengisi kekosongan bagi Gred DG41.

Inisiatif ini bukan sahaja akan menggembirakan para graduan bahkan ia kelak akan memberikan kelegaan kepada para guru yang selama ini “tidak menang tangan” dalam sesi pengajaran dan pembelajaran khususnya di suasana norma baharu ini.

Inisiatif KPM ini juga kelak akan dapat menyelesaikan isu kekurangan guru khususnya di beberapa negeri yang telah berlarutan agak lama.

Ramai guru terbeban dengan jumlah PnP yang banyak. Tambahan pula dengan sesi PDPR dijalankan melalui alam maya .

Tidak semua guru mampu mengajar secara kondusif di atas talian seperti yang kita bayangkan.

Pengambilan Khas Guru ini juga dapat mengurangkan kadar peratusan penggangguran di Malaysia.

Menurut statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran di Malaysia setakat Disember 2021 adalah sebanyak 4.8 peratus yakni bersamaan dengan 772 900 orang.

Dengan usaha KPM ini, kadar ini dapat diturunkan sebanyak 0.1 peratus.

Pengambilan khas guru secara one-off ini akan melibatkan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Bagi yang berminat ingin mengambil peluang ini, anda boleh mengisi secara dalam talian di portal Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) mulai 7 Julai 2021 ini.

Penempatan bagi yang layak dan berjaya akan bermula pada Oktober 2021.

Syabas kami ucapkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia atas usaha pengambilan khas guru ini.

Besar harapan kami, mudahan peluang seperti ini akan ditawarkan juga bagi sektor-sektor yang lain.

Kami Dewan Pemuda Pas Negeri Perak menyeru kepada semua graduan terutamanya graduan pendidikan agar memohon jawatan ini.

Jika kalian berjaya, maka didiklah anak bangsa kita kerana Allah.
Semoga berjaya dan bittaufiq wannajah kami ucapkan buat kalian!

Mohamad Fadhlin Mohd Ariffin
Pengerusi
Jabatan Pembangunan Graduan
Dewan Pemuda Pas Perak