Home Berita PAS Wilayah

Beras percuma untuk penduduk Wangsa Maju

230
SHARE

WANGSA MAJU, 23 Jun: Peka dengan kesusahan yang dialami rakyat kerana penularan Covid-19, Penyelaras Parlimen Wangsa Maju, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh (YB Kak Nuri) tampil dengan cara tersendiri untuk menghulurkan bantuan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita Perikatan Nasional Malaysia telah mengambil insiatif dengan melancarkan Program Bantuan Beras Percuma 2021 bermula 8 Mei lalu.

“Kak Nuri dan Ustaz Abdul Rani, YDP PAS Kawasan Wangsa Maju sering turun padang mendengar rintihan masyarakat. Ada yang hilang pekerjaan dan pendapatan berkurangan. Banyak bantuan yang diminta.

“Sebagai Penyelaras Parlimen Wangsa Maju, Kak Nuri perlu memastikan tidak ada seorang pun masyarakat khususnya dalam parlimen ini hidup dalam keadaan daif tanpa bekalan makanan. Kak Nuri dan PAS Wangsa Maju akan cuba bantu sedaya upaya,” katanya.

Menerusi sumbangan tersebut, setiap penduduk Wangsa Maju yang layak boleh mengambil satu beg beras untuk satu keluarga di Pejabat PAS Kawasan Wangsa Maju.

Selain itu, YB Kak Nuri juga tampil dengan inisiatif Bakul Makanan Parlimen Wangsa Maju yang mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, telur, tepung, gula, minyak masak dan biskut sebanyak 800 set.

“Sumbangan ini bukanlah pertama kali dilaksanakan tetapi merupakan kali ketiga sejak wabak Covid-19 ini menular kembali sebagaimana yang disebutkan banyak pihak sebagai gelombang ketiga,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, golongan yang diberikan barangan keperluan asas ini antaranya pemandu teksi serta golongan B40 yang tinggal di perumahan rakyat dan perumahan awam.

Jelasnya, program sumbangan tersebut mendapat respon yang baik daripada penduduk dan ramai yang inginkan bantuan sebegitu diteruskan lagi dari semasa ke semasa.

“Antara program lain kelolaan saya dan kepimpinan PAS Wangsa Maju ialah program tukar minyak enjin percuma kepada penunggang motosikal.

“Semoga dengan sumbangan-sumbangan tersebut dapat meringankan sedikit bebanan kepada penduduk Parlimen Wangsa Maju,” ujarnya.