Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 3 kluster baharu, 180 kes positif

139
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 23 Jun: Sebanyak tiga kluster dan 180 kes positif baharu dikesan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKNM dua daripada kluster baharu itu ialah daripada kategori Kluster Tempat Kerja iaitu Kluster Jalan Mangga Satu melibatkan Daerah Melaka Tengah dan Jasin; dan Kluster Industri Jalan Usaha Dua melibatkan Daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Manakala satu kluster lagi daripada Kategori Kluster Komuniti iaitu Kluster Lorong Tun Mamat Dua melibatkan Daerah Melaka Tengah.

Kes positif baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 180 kes positif baharu direkodkan hari ini berbanding 167 kes semalam di mana 178 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, manakala dua kes lagi adalah daripada kategori import.

Menurut JKNM daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 116 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 37 kes di Daerah Jasin dan 27 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 128 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1793 kes masih dirawat berbanding 1742 semalam dengan 73 kes adalah daripada kes ICU dan 15 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan kematian

Menurut JKNM terdapat satu lagi kes kematian baharu dilaporkan hari ini melibatkan seorang lelaki berumur 57 tahun dari Mukim Alai, Daerah Melaka Tengah.

Mangsa yang disahkan positif pada 1 Jun lepas itu mempunyai gejala demam, cirit-birit, lemah badan dan kurang selera makan selain mempunyai sejarah penyakit darah tinggi.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5244 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 4743 kes semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2001 kes hari ini, diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 677 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 83 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 77 kes semalam sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 711,006 kes.