Oleh NORLAILY MAJID
PADANG SERAI: Adun Merbau Pulas, YB Dato’Ustazah Siti Ashah Ghazali, baru-baru ini turun padang meninjau perkembangan para pelajar Politeknik Sultanah Bahiyah, Kulim, yang sedang dikuarantin. Para pelajar berkenaan merupakan kontak rapat kepada individu yang disahkan positif Covid-19 dan kini dikenakan kuarantin di premis pendidikan mereka. Ketika lawatan itu didapati makanan tengahari sudah ditempah manakala untuk malamnya dimasak oleh kakitangan politeknik terbabit dibantu sukarelawan Anggota Pertahanan Awam (APAM) yang bertugas di situ.
“Saya mengucapkan terima kasih atas budi baik semua yang ringan tulang memberi bantuan dalam suasana lockdown ini,” ujar beliau. Berikutan itu beliau berharap dengan kerjasama yang baik di antara masyarakat, kakitangan kerajaan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dapat meringan bebanan yang ditanggung oleh pihak yang terlibat. Dalam lawatan itu beliau menyampaikan sumbangan buah-buahan kepada para pelajar terbabit.
Dalam perkembangan lain,Ashah turut menyampai sumbangan kepada 30 anggota bomba, Kulim Hi-Tech yang diarahkan kuarantin di kediaman masing-masing. “Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan sedikit bebanan dan berharap agar semua anggota yang terlibat dalam keadaan kesihatan yang baik,” kata beliau ketika lawatan ke sana. Sumbangan berupa barangan keperluan harian itu diserahkan kepada wakil balai berkenaan untuk diagihkan kepada mangsa yang terlibat.