Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | Wanita dengan sejarah penyakit skizofrenia kes kematian terbaru

297
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 19 Jun: Seorang wanita berusia 43 tahun dengan sejarah menghidap penyakit skizofrenia adalah mangsa kematian terbaru Covid-19, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu, wanita yang berasal dari Mukim Bukit Baru dalam Daerah Melaka Tengah itu disahkan positif pada 29 Mei lepas.

Mangsa yang mengalami gejala batuk dan sesak nafas itu mendapat jangkitan daripada kontak rapat ahli keluarga iaitu ibu mangsa sendiri.

Kes jangkitan baharu

JKNM juga melaporkan sebanyak 134 kes positif jangkitan baharu direkodkan hari ini di mana 125 kes daripadanya adalah daripada kategori tempatan, sementara sembilan kes lagi adalah daripada kategori import.

Menurut JKNM daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 80 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 40 kes di Daerah Jasin dan 14 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 140 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1582 kes masih dirawat dengan 66 kes adalah daripada kes ICU dan 14 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Laporan Kluster

JKNM juga melaporkan terdapat pertambahan satu kluster baharu di Melaka pada hari ini iaitu Kluster Industri Jalan P1 Ayer Keroh di mana kes Indeks merupakan seorang pengawal keselamatan.

Tambah laporan itu lagi, daripada 41 orang kontak rapat yang telah disaring, 32 daripadanya disahkan positif (termasuk kes indeks) dengan 12 kes adalah kontak rapat di tempat kerja sementara 20 kes lagi adalah kontak keluarga.

Manakala 106 orang pekerja daripada kilang ini juga telah menjalani saringan atas arahan majikan dan kilang tidak beroperasi sejak PKP bermula 1 Jun kerana non-essential service.

Selain itu terdapat 31 kluster aktif (termasuk satu kluster baharu) di negeri Melaka (kluster dalam Melaka) dan satu kluster luar Melaka.

Terdapat juga pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 12 kes bagi Kluster Jalan Usaha Merlimau; lapan kes bagi Kluster Bukit Godek; tiga kes bagi Kluster Industri Batu Berendam; tiga kes Kluster Industri Ayer Keroh; satu kes Kluster Jalan Tun Fatimah dan satu kes bagi Kluster Terendak Permai.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5911 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih rendah daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2111 kes hari ini, lebih tinggi daripada semalam diikuti oleh Negeri Sembilan yang mencatatkan 770 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Negeri Perlis.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 72 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 691,115 kes.