Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 1 Jun : Terdapat 249 kes jangkitan dan empat kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut laporan itu daripada 249 kes jangkitan baharu yang direkodkan itu sebanyak 242 kes adalah daripada kategori tempatan dan tujuh kes lagi daripada kes import.
JKNM turut melaporkan bahawa daripada keseluruhan kes baharu itu juga 154 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 24 kes di Daerah Jasin dan 71 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.
Jabatan itu juga berkata sebanyak 343 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 2227 kes masih dirawat dengan 66 kes adalah daripada kes ICU dan 10 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Kes kematian baharu
Empat kes kematian baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini di mana tiga kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, manakala satu lagi kes dikesan di Daerah Alor Gajah.
Tiga kes kematian baharu yang direkodkan di Melaka Tengah itu adalah seorang wanita, berusia 66 tahun daripada Mukim Bukit Baru; seorang wanita, berumur 52 tahun daripada Mukim Bukit Baru dan seorang lelaki, berusia 60 tahun daripada Mukim Duyong sementara satu kes daripada Daerah Alor Gajah pula melibatkan seorang wanita berusia 85 tahun daripada Mukim Kemuning.
Laporan kluster
Terdapat pertambahan kes bagi 35 kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ini iaitu tujuh kes daripada Kluster Industri Pengkalan Balak; 38 kes bagi Kluster Industri Batu Berendam; empat kes Kluster Industri Kelemak; dua kes Kluster Kampung Hilir Alor Gajah; tiga kes Kluster Batu 16 Bemban; satu kes Kluster Jalan Dato Dol Said; 12 kes Kluster Terendak Permai; enam kes bagi Kluster Tanjung Minyak dan satu kes bagi Kluster Jalan Semabok.
Selain itu JKNM turut mengumumkan penamatan Kluster Jalan Kesidang pada hari ini dengan 31 kes kumulatif.
Kes seluruh negara
Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 7105 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2068 kes diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 817 kes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 71 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 579,462 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.
AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH
. SAMBAL IBU SARI .