Home Berita PAS Melaka

Bicara seni | P Ramlee, perginya benar-benar tiada pengganti

334
SHARE

Oleh CINDERELLA NASS TC

SEMALAM, 29 Mei, genap 48 tahun Seniman Agung P Ramlee pergi meninggalkan kita. Almarhum diserang sakit jantung pada jam 4 pagi Selasa, 29 Mei 1973 sebelum dibawa ke hospital oleh keluarganya dan menghembuskan nafas terakhir pada hari yang sama.

Untuk mendalami kisah hidup Seniman Agung ini saya banyak merujuk kepada satu dokumentari terbitan History Channel yang mengkisahkan kehidupan P Ramlee dalam membina kerjaya seninya sehinggalah Almarhum pergi tak kembali ketika berusia 44 tahun.

Dokumentari ini melibatkan temubual bersama dengan ramai tokoh-tokoh penting yang dekat dengan Almarhum termasuk ahli keluarga Almarhum. Jadi ia bagi saya antara sumber maklumat berkenaan Almarhum yang boleh dipercayai.

Antara persoalan yang menjadi polemik sehingga sekarang ialah, adakah akhir hidupnya susah? Jika kita lihat maklumat-maklumat yang disampaikan oleh Almarhum Aziz Sattar dalam dokumentari itu, begitulah nampaknya.

Malahan di penghujung usianya itu Almarhum memang menghadapi zaman kejatuhan populariti dan karya-karyanya seperti sudah tidak lagi popular seperti sebelumnya.

Namun ada juga sesetengah tokoh yang juga rapat dengan beliau menafikan Almarhum hidup susah semasa akhir hayatnya.

P Ramlee (Kredit foto : Google)

Yang pasti, Almarhum P Ramlee yang pernah melalui zaman kegemilangannya itu memang boleh dikatakan berada di era kejatuhan beberapa tahun sebelum kematiannya.

Tapi bermula dari tarikh pemergiannya beliau mula disanjung semula, dihargai dan dikenang. Beliau mendapat gelaran Seniman Agung dan Tan Sri selepas pemergiannya.

Perginya tiada pengganti

Namun satu perkara yang menarik tentang Seniman Agung P Ramlee ini ialah pemergiannya tiada pengganti.

Iya, memang ayat ini nampak cliche, tapi jika kita kaji betul-betul ia memang benar-benar tepat dan bukan sekadar kata-kata manis.

Apa kebolehan P Ramlee? Jom kita senaraikan: 

1) Pelakon
2) Komedian
3) Pengarah filem
4) Penulis skrip
5) Pemuzik
6) Penulis lirik
7) Komposer
8) Penyanyi

Iya, ramai juga dalam dunia seni sekarang ini yang kita lihat turut mempunyai pelbagai kebolehan. Namun yang membezakannya ialah P Ramlee bukan sahaja mempunyai banyak kebolehan tetapi cemerlang dalam semua kebolehannya.

Kebolehannya bermain muzik tidak dapat dinafikan sementelah lagi beliau seorang komposer. Lagu ciptaannya dan lirik tulisannya biasanya akan meletup dan popular. Suaranya juga memang sedap dan merdu.

Filem arahannya kebanyakkannya memang popular dan pecah panggung. Malah kebanyakan filem arahannya adalah daripada skrip tulisannya sendiri.

Lawaknya hebat dan bukan dibuat-buat. Itu tidak dapat dipertikaikan. Berapa banyak filem komedi arahan atau lakonannya yang juga pecah panggung.

Tidak hanya berkomedi, dia juga boleh berlakon dalam filem-filem bercorak serius. Samada lakonan komedi atau serius semuanya mantap.

Boleh dikatakan Almarhum adalah seorang pengkarya yang sempurna dan serba boleh dalam erti kata yang sebenar. Bukan sekadar penghormatan formaliti semata-mata.

Daripada pemerhatian saya ada juga artis kita yang boleh dikatakan memiliki pelbagai kebolehan, antaranya Afdlin Shauki. Beliau hampir mempunyai semua kebolehan ini. Saya sendiri salah seorang peminat filem dan lakonan beliau. Lawak beliau memang lain daripada yang lain.

Namun walau pun Afdlin juga mempunyai kebolehan mengarah, berlakon, melawak, menyanyi dan menulis lirik lagu, namun ada beberapa kebolehan beliau kurang menonjol. Antaranya tidak banyak lagu nyanyian atau dicipta Afdlin yang meletup.

Yusry KRU juga adalah seorang lagi artis mempunyai pelbagai kebolehan. Dari segi lakonan, pengarahan filem dan penciptaan dan nyanyian lagu memang menonjol. Tapi satu sahaja kekurangannya, Yusry bukan komedian.

Sebab itu pada pendapat saya sehingga hari ini memang tidak ada orang yang boleh menandingi kebolehan dan kemampuan P Ramlee. Ia benar-benar tidak boleh ditandingi.

Tapi itu sekadar pendapat saya. Bagaimana pendapat anda? Anda rasa ada atau tidak artis pada hari ini yang benar-benar serba boleh seperti P Ramlee?

 

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .