DAP Yang Perlu Bersedia Untuk Hilang Pulau Pinang
1. Saya membaca kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang yang menyatakan bahawa PAS mengalami risiko untuk kehilangan Kelantan di dalam pilihanraya umum yang akan datang jika enggan menyertai Pakatan Pembangkang. Saya kira Lim Guan Eng telah mengalami sindrom hilang ingatan apabila terus menyalahkan PAS dalam isu ini sedangkan pihak yang mula-mula memutuskan hubungan sesama parti di dalam Pakatan Rakyat ialah DAP.
2. Sudah lupakah Lim Guan Eng bahawa DAP lah parti yang mula-mula mengisytiharkan putus dengan Presiden PAS pada tahun 2015 yang akhirnya membawa kepada keretakan hubungan di antara parti-parti di dalam Pakatan Rakyat. Bagaimana pula hari ini PAS diminta berpakat dengan parti-parti pembangkang sedangkan dahulunya Pakatan Rakyat berkubur atas asas DAP tidak boleh menerima prinsip PAS?
3. Hakikatnya, DAP yang lebih wajib memikirkan nasib mereka di Pulau Pinang dalam situasi mereka hanya mempunyai 19 kerusi sahaja dan ia tidak cukup untuk menjadi kerajaan tanpa kerjasama parti lain. Ia berbeza dengan PAS yang sudah mempunyai majoriti yang cukup menguasai Kelantan pada hari ini.
4. Sedarkah Lim Guan Eng bahawa DAP juga mempunyai risiko kalah di kerusi yang ditandingi jika berlaku pertembungan tiga penjuru. Di kerusi DAP bertembung dengan MCA atau Gerakan sebagai contoh, pengundi Melayu Islam hampir pasti secara solid akan memilih PAS sebagai alternatif.
5. Lim Guan Eng pula hanya menyatakan bahawa PAS bakal kalah tetapi tidak pula menyebut Pakatan Harapan bakal menang. Ini kerana beliau sendiri sedar bahawa pihak yang untung nanti apabila berlaku pertembungan tiga penjuru di Kelantan ialah UMNO. Ia sekaligus menunjukkan dengan jelas siapakah yang memberikan nyawa tambahan kepada UMNO / Barisan Nasional.
6. Satu satunya kekurangan di Kelantan ialah, Menteri Besar dan exconya tidak mempunyai pengalaman ditahan oleh SPRM tidak seperti Pulau Pinang di mana Ketua Menteri dan salah seorang exconya telah mempunyai pengalaman berharga ditahan dan didakwa oleh SPRM di mahkamah. Itulah satu-satunya kelebihan DAP berbanding PAS di Kelantan.
Sekian, terima kasih.
AHMAD FADHLI SHAARI,
5 September 2017