ALHAMDULILLAH sudah lima belas hari kita berada di bulan Syawal. Anda semua sudah mula berpuasa enam ke belum?
Dalam bulan Syawal ini, kita sangat digalakkan untuk mengerjakan ibadah puasa enam. Puasa enam hari dalam bulan Syawal ini berdasarkan anjuran daripada Rasulullah SAW, sabdanya:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim)
Perbandingan puasa Ramadan yang diikuti dengan puasa enam hari di bulan Syawal seperti berpuasa setahun ini adalah dengan mengambil iktibar daripada firman Allah SWT:
مَن جَاۤءَ بِٱلۡحَسَنَةِ فَلَهُۥ عَشۡرُ أَمۡثَالِهَاۖ
Maksudnya:
Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
(Surat Al-An’am 160)
Terdapat juga ulama yang berpendapat bahawa puasa enam ini antara hikmahnya adalah untuk menampung kekurangan dalam ibadah puasa fardu.
Dalam perkara ini para ulama menqiaskannya dengan keadaan kekurangan dalam solat fardu yang dapat ditampung dengan solat sunat. Telah dijelaskan oleh Ibn Rejab dalam Lataif Maarif:
أن صيام شوال وشعبان كصلاة السنن الرواتب قبل الصلاة المفروضة وبعدها فيكمل بذلك ما حصل في الفرض من خلل.
“Sesungguhnya puasa enam dan puasa Syaaban adalah seperti amalan solat sunat rawatib sebelum dan sesudah solat fardu. Amalan sunat ini menampung kekurangan yang ada pada amalan fardu tersebut sekiranya berlaku kelompongan pada amalan fardu.”
Selain itu, antara kelebihan bagi orang yang berpuasa sunat juga akan dimasukkan ke dalam syurga melalui pintu Ar-Rayyan.
Sementara kita duduk di rumah atas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan, marilah berusaha menunaikan ibadah puasa enam ini.
Ambillah kesempatan yang berharga ini untuk melipatgandakan amalan sunat dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal.
Bagi para Muslimat, sudah tentu juga boleh menggunakan peluang ini untuk mengqada’ puasa fardu Ramadan sebagaimana yang telah dibincangkan hukumnya oleh para ulama.
Selamat beramal.
USTAZAH SITI KHADIJAH MAHMUD
Pengerusi Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan
Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM)
AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH
. SAMBAL IBU SARI .