BALING – Syawal yang bakal menjelang dikongsi kegembiraannya oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang bersama Persatuan Veteran Komando Baling, semalam.
ADUN Kupang, Brigadier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad telah memperuntukkan sumbangan beliau buat mereka yang pernah berkorban dan berjasa kepada negara itu.
Setiausaha PKWR DUN Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada wakil Persatuan Veteran Komando Baling, Kasturi Hambali, di sini semalam.
Menurut beliau, sumbangan wang tunai dan hamper barangan kepada 15 keluarga veteran komando itu adalah untuk balu dan bekas anggota kurang berkemampuan.
“Bantuan bagi meringankan beban mereka dalam menyambut Syawal ini disampaikan pihak PKWR DUN Kupang yang mewakili YB Najmi kepada Persatuan Veteran Komando Baling.
“Pihak persatuan telah mengenal pasti sasaran penerima dan akan menyampaikan sumbangan ini kepada mereka. Semoga sumbangan ini dapat menceriakan keluarga penerima,” katanya.
Datuk Najmi merupakan bekas pemimpin Angkatan Tentera Malaysia di mana pernah menjawat tanggungjawab sebagai Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).