Begitu pantas masa berlalu, 1 Mei tahun ini menandakan kali kedua kita meraikan Hari Pekerja dalam situasi pandemik COVID-19.
Jika tahun lalu di awal fasa jangkitan wabak ini, kita melihat begitu ramai para pekerja diberhentikan, ekonomi merudum dalam keadaan kita masih bertatih mengamalkan norma baharu.
Kini, alhamdulillah keadaan ekonomi dilihat sedikit membaik dengan bantuan-bantuan serta insentif yang diberi oleh kerajaan mahupun pihak lain dan kita sudah makin terbiasa dengan norma baharu. Pun begitu, kita tidak boleh leka dengan mengambil mudah akan hal ini.
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) menyambut baik tema Hari Pekerja yang dipilih pada tahun ini iaitu Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat sebagai suatu peringatan agar SOP tetap dijaga dalam kita memulihkan semula sektor-sektor pekerjaan yang ada.
Dalam fasa pemulihan ekonomi ini juga, elemen etika dan kesungguhan dalam pekerjaan juga perlu diambil sebagaimana hadis Nabi SAW:
إِنّ اللَّهَ تَعَالى يُحِبّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلاً أَنْ يُتْقِنَهُ
“Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti.” (Riwayat al-Baihaqi).
BPPWP menyeru para pekerja agar dapat menghayati dan mengamalkan hadis berkenaan agar pekerjaan kita diberkati dan hasilnya dapat kita manfaatkan sebaiknya untuk membaikpulih taraf ekonomi masing-masing.
Akhirnya, BPPWP serta seluruh saf kepimpinan mengucapkan Selamat Hari Pekerja tahun 2021 kepada pekerja-pekerja di semua sektor di Malaysia. Bersama kita budayakan norma baharu dalam pekerjaan kita.
Siiru ‘ala barakatillah.
Islam Memperkukuh Perpaduan
USTAZ AZHAR YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP)
1 Mei 2021 l 19 Ramadhan 1442H