Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 27 Apr : Satu lagi pertambahan kluster baharu diumumkan hari ini iaitu Kluster Teknologi Ayer Keroh hanya sehari selepas wujudnya dua kluster terbaru semalam.
Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut laporan itu Kluster Teknologi Ayer Keroh merupakan kluster tempat kerja yang melibatkan kes dari MelakaTengah, Alor Gajah dan Jasin.
Tambah JKNM lagi, 21 kes telah dikesan positif bagi kluster ini yang merebak dalam kalangan kontak tempat kerja dan kontak keluarga di mana seramai 320 kontak rapat telah disaring.
Kata laporan itu lagi, selain kluster baharu itu, kluster lain yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Jalan Kenanga, Kluster Teknologi Lot Enam, Kluster Jalan Mata Kuching, Kluster Malim Jaya, Kluster Jalan Gapam, Kluster Pengkalan Batik, Kluster Jalan Pokok Mangga, Kluster Jalan Melaka Raya, Kluster Kota Syahbandar dan Kluster Jalan Kesidang.
Sementara itu JKNM juga melaporkan sebanyak 33 kes positif baharu direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan 32 daripadanya adalah daripada kategori kes tempatan, manakala satu kes lagi adalah kes import.
Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 30 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 323 kes masih dirawat di Hospital Melaka dengan lapan kes ICU dan satu kes bantuan alat pernafasan.
Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 22 mukim berada di zon hijau, lapan mukim berada di zon kuning dan satu mukim dalam kategori zon merah iaitu mukim Kelemak.
Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, enam mukim di dalam zon hijau, 20 mukim lagi di dalam zon kuning, dua mukim dalam zon jingga dan satu mukim dalam zon merah iaitu mukim Bandar Melaka.
Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 16 mukim adalah di dalam zon hijau, sementara lima lagi adalah dalam zon kuning.
Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 2733 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini.
Untuk hari ini Selangor masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 750 kes, diikuti oleh Kelantan yang mencatatkan 484 kes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 398,451 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Labuan.
AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH
. SAMBAL IBU SARI .