Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Al Anfal: Siri 13

192
SHARE

?? Tadabbur Al Qur’an ??
Surah Al Anfal: Siri 13

Ayat:36-37: Sifat Infak Orang Kafir

?️ Firman Allah SWT dan terjemahannya:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ فَسَيُنْفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَى جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ (٣٦)

Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam neraka Jahanamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan,

لِيَمِيزَ اللَّهُ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَيَجْعَلَ الْخَبِيثَ بَعْضَهُ عَلَى بَعْضٍ فَيَرْكُمَهُ جَمِيعًا فَيَجْعَلَهُ فِي جَهَنَّمَ أُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ (٣٧)

Supaya Allah memisahkan (golongan) yang buruk dari yang baik dan menjadikan (golongan) yang buruk itu sebahagiannya di atas sebahagian yang lain, lalu kesemuanya ditumpukkan-Nya, dan dimasukkan-Nya ke dalam neraka Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.

? Tafsir Ringkas

1. Setelah Allah SWT memberi jaminan bahawa kaum musyrikin tidak akan menguasai kota Mekah, ayat seterusnya menyatakan pula tentang hakikat sebenar amalan mereka.

2. Orang-orang kafir juga menginfaqkan harta mereka untuk tujuan menghalang dan mengalahkan orang Islam. Namun akhirnya mereka menyesal dengan infaq yang mereka berikan itu, kerana mengurangkan harta mereka, lebih-lebih lagi apabila mereka kalah di tangan orang Islam dalam perang Badar.

3. Allah SWT mendatangkan musuh-musuh Islam yang turut berusaha untuk memerangi Islam dengan pelbagai cara, sebenarnya bertujuan untuk membezakan antara golongan yang beriman dengan golongan yang kufur terhadap Allah SWT. Di akhirat nanti orang-orang kafir akan dihimpunkan bersama di dalam neraka. Merekalah orang-orang yang benar-benar rugi.

? Pengajaran

1. Berinfaqlah ke jalan Allah dalam apa juga bentuk, dengan syarat disertakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Jika tidak ikhlas, sama sahajalah dengan amal orang kafir.

2. Yakinlah bahawa segala ujian dan halangan dalam memperjuangkan agama Allah SWT memiliki hikmah yang tersendiri. Renungilah setiap hikmah yang didapati, dan pastikan ia membawa diri semakin dekat dengan Allah SWT dan orang-orang beriman.

3. Tidak mengapa rugi atau sesal ketika di dunia. Takutilah jika diri mengalami kerugian di akhirat. Berinfaqlah dengan jiwa, harta dan masa untuk jalan Islam, semoga segala amalan yang dilakukan akan memberikan kejayaan di akhirat nanti.

? Rujukan:
1.Tafsir Ibu Kathir
2.Tafsir Pimpinan al-Rahman

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
25 April 2021 / 13 Ramadhan 1442

#baca&sebar
#siritadabbursurahalanfal