Home Berita PAS Pahang

PAS Lipis sedia tawar pengurusan cekap berintegriti

88
SHARE

Oleh: ZULHILMI ABU BAKAR

LIPIS, 24 Apr: PAS Kawasan Lipis sedia menawarkan sebuah pengurusan yang cekap dan berintegriti bagi memimpin kerajaan. Ini dimulakan dengan penganjuran kursus pengurusan kepada wakil-wakil kepimpinan dan pengurusan organisasi PAS di semua peringkat parlimen Lipis.

Kursus yang bermula pagi tadi diadakan di Kompleks Al-Istiqamah Kg Berembang dekat sini.  Serentak itu disampaikan taklimat pengurusan kewangan bersama Majlis Bendahari PAS Kawasan Lipis, Kursus Pengurusan Organisasi Jabatan Setiausaha, dan Bengkel Kewartawanan anjuran Lajnah Penerangan PAS Lipis.

Yang Dipertua PAS Kawasan Lipis, Roslan Zainal Al Ahmadi menyatakan kursus ini amat penting bagi memantapkan tahap pengurusan semua organisasi parti bagi mempamerkan imej PAS sebuah parti kerajaan.

“PAS sebuah parti yang terkenal dengan integriti yang tinggi namun imej baik ini perlu dikemaskan dengan gaya dan tahap kecekapan pengurusan organisasi yang perlu dipertingkatkan lagi tahap kualitinya bagi menjamin perkhidmatan kepada rakyat dapat ditingkatkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai program itu.

Sementara itu salah seorang peserta kursus, Idris Al Rifaie menyifatkan kursus sedemikian amat baik bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan pengurusan organisasi parti khususnya bagi pentadbiran parti di cawangan-cawangan yang berhubung lansung dengan rakyat.

Sehubungan itu, pihak seketariat PAS Kawasan Lipis memaklumkan kursus ini akan diadakan secara berkala kerana melihat kepada sambutan yang diberikan dengan kehadiran hampir 40 peserta yang mewakili pelbagai unit dan lajnah. Ia boleh dijadikan sebagai medium pengantara yang baik bagi penyaluran maklumat dan isu ahli-ahli cawangan ke pengurusan atasan parti.