?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 2
Ayat: 2-4: Sifat-Sifat Mukmin Yang Sebenar
? Firman Allah serta terjemahannya:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُهُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتُهُۥ زَادَتۡهُمۡ إِيمَٰنٗا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ (٢)
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَمِمَّا رَزَقۡنَٰهُمۡ يُنفِقُونَ (٣)
Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
أُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ حَقّٗاۚ لَّهُمۡ دَرَجَٰتٌ عِندَ رَبِّهِمۡ وَمَغۡفِرَةٞ وَرِزۡقٞ كَرِيمٞ (٤)
Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).
? Tafsir ringkas:
1. Setelah memerintahkan orang-orang beriman supaya taat kepada Allah dan Rasul-Nya dalam urusan pembahagian harta rampasan perang, dalam ayat-ayat ini Allah SWT menegaskan 5 ciri-ciri golongan Mukminun yang sebenar iaitu:
a) Mereka benar-benar takut kepada Allah SWT. Apabila disebut nama Allah, hati mereka merasai kebesaran dan kekuasaan Allah lalu membangkitkan perasaan takut dan gementar kepada Allah.
b) Keimanan dan keyakinan mereka kepada Allah SWT bertambah apabila mendengar ayat-ayat Al-Quran.
c) Mereka bertawakkal kepada Allah SWT dengan berserah diri sepenuhnya kepada Allah, tidak berharap kepada selain-Nya dan tidak meminta apa-apa hajat melainkan kepada-Nya.
d) Mereka mendirikan solat sebagai bukti ketaatan dan ketundukan mereka kepada Allah.
e) Mereka menginfaqkan harta kekayaan yang dikurniakan oleh Allah SWT dengan mengeluarkan zakat, menghulurkan sedekah, memberi nafkah kepada ahli keluarga dan membantu golongan yang memerlukan.
2. Golongan yang melengkapi kelima-lima ciri tersebut, merekalah orang yang benar-benar beriman. Mereka ini dimuliakan dengan darjat dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah, dijanjikan keampunan atas dosa dan kesilapan serta dianugerahkan kemuliaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
? Pengajaran
1. Didiklah hati agar sentiasa takut dan gementar kepada Allah SWT dengan membesarkan kekuasaan-Nya dan merasa kekerdilan dan kekurangan diri. Mohonlah kepada Allah agar dikurniakan perasaan takut yang boleh menghindarkan kita daripada melakukan dosa seperti doa berikut:
اَللّٰهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مَخَافَةً تِحْجِزُنِي عَنْ مَعَاصِيْكَ
“Ya Allah, kami memohon kepada-Mu perasaan takut yang dapat menghalangi kami daripada berbuat maksiat”
2. Berilah tumpuan pada bacaan Al Quran dengan menghadirkan hati dan minda untuk merenungi maksudnya agar bertambah keimanan dan keyakinan kita kepada ayat-ayat Allah.
3. Letakkan sepenuh tawakkal kepada Allah SWT dalam setiap urusan setelah melakukan usaha dengan bersungguh-sungguh laksana tawakkal sang burung. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kamu seperti memberi rezeki kepada burung. Mereka pergi pagi hari dengan perut kosong dan pulang pada petang hari dengan perut kenyang.”
4. Tunaikanlah solat dengan menyempurnakan segala rukun, syarat dan bacaannya beserta hati yang khusyuk menghadap Allah SWT.
5. Infaqkan harta ke jalan Allah SWT secara konsisten sebagai bukti keimanan dan kecintaan kita kepada-Nya.
? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Al-Azhar
Tafsir Al-Munir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
14 April 2021 / 2 Ramadhan 1442