Minda Presiden PAS
TAWARAN KERAJAAN SELAMATKAN RAKYAT: BERINTEGRITI DAN BERKEBAJIKAN
Firman Allah SWT:
﴿…وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنْصُرَنَّ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ٤١﴾
“…Dan sekiranya Allah tidak mendorong sebahagian manusia menentang pencerobohan sebahagian yang lain (kebenaran menentang yang salah), tentu sekali telah dirobohkan gereja-gereja (kaum Nasrani), rumah-rumah ibadat (kaum Yahudi), sembahyang-sembahyang dan masjid-masjid, yang sentiasa disebutkan nama Allah banyak-banyak padanya. Sesungguhnya pasti Allah akan menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah itu benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40); (Iaitu) mereka (umat Islam) yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (memerintah negara), nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan. (41).” (Surah al-Hajj: 40-41)
Inilah tawaran Islam untuk memimpin negara masyarakat majmuk melalui perjuangan menegakkan sebuah kerajaan yang adil kepada semua dan berwawasan luas serta jauh daripada dunia sehingga akhirat. Manusia akan menerima balasan Allah SWT, setelah berjuang menentang kezaliman terhadap semua.
Perkara tersebut pernah dilaksanakan pada era kemenangan Islam sewaktu berkuasa dan memerintah negara yang berdaulat. Ketika itu Islam dilaksanakan dengan sempurna dan berpijak di alam kenyataan dalam sejarah keemasannya. Bukan sekadar teori, impian dan slogan yang kosong semata-mata.
Walaupun peranan kerajaan Islam dipadamkan ketika zaman penjajahan, apabila penjajah mengambil kesempatan daripada kelemahan umat Islam yang meninggalkan petunjuk Islam. Namun, ajaran Islam tetap dipelihara dan diperjuangkan oleh penganutnya yang setia sehingga kini. Ia dibuktikan oleh firman Allah SWT:
﴿يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ٨﴾
“Mereka sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedangkan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah al-Saff: 8)
Situasi di Malaysia yang telah meletakkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, mewajibkan kita untuk menerima hakikat kewujudan masyarakat majmuk berbilang agama dan kaum yang telah berpijak di bumi dan tanah air kita bersama. Apa yang penting ialah mewujudkan satu gabungan yang konsisten untuk melaksanakan konsep perpaduan ummah.
Perpaduan itu boleh diwujudkan bersama Islam dengan mengambil kira konsep yang menjadi titik persamaan berasaskan nilai kemanusiaan dan bertoleransi atau bertasamuh antara satu sama lain dalam meraikan perbezaan. Dengan syarat tidak bersikap fanatik dan melampau yang boleh dicegah dengan melaksanakan konsep adil terhadap semua dan hak kemanusiaan sejagat serta bertimbang rasa dalam menjaga sensitiviti dalam perkara yang berbeza dan bertembung.
Kemunculan Muafakat Nasional (MN) pada mulanya hanya dianggotai oleh PAS dan UMNO sahaja. Kemudian kedua-dua buah parti tersebut bersetuju untuk memasukkan BERSATU, sekali gus menjadi asas permulaan kepada konsep Islam memimpin. Seterusnya ia dilangsungkan kepada pembentukan gabungan yang lebih besar iaitu Perikatan Nasional (PN) bersama parti-parti yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan.
Gabungan Perikatan Nasional bermatlamat untuk melaksanakan agenda perpaduan ummah yang majmuk sebagai tawaran baharu kepada rakyat Malaysia, berkonsepkan Islam memimpin tanpa menghapuskan kewujudan pelbagai agama dan bangsa. Berbeza dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang menyanggah realiti masyarakat majmuk ciptaan Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya:
﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣﴾
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada seorang lelaki dan seorang perempuan serta menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kalian saling berkenal-kenalan antara satu sama lain (bermasyarakat majmuk). Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dalam kalangan kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)
Firman Allah SWT:
﴿وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْعَالِمِينَ٢٢﴾
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasa dan warna kulit kalian. Sesungguhnya pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-Rum: 22)
Perkara tersebut hanya boleh dilaksanakan oleh negara yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan pengurusan yang berintegriti dan berkebajikan secara adil yang menyeluruh kepada rakyat. Konsep ini menyentuh rasa hati nurani dan akal budi yang tidak mampu dilakukan oleh kalangan yang berpaksikan kepada kebendaan dan lahiriah semata-mata, walaupun dalam kesamaan agama, bangsa dan negara.
Integriti adalah suatu amalan bersikap jujur dan menunjukkan kepatuhan tanpa kompromi terhadap prinsip dan nilai moral serta etika yang kuat. Integriti bukanlah cakap-cakap kosong yang sekadar menjadi slogan. Konsep ini berlaku melalui tarbiyah jasad, akal dan roh. Konsep yang tidak wujud dalam prinsip sekularisme yang memisahkan aspek politik daripada agama.
Maka, objektif berintegriti bukan sahaja dicapai melalui pemimpin yang berilmu dan berakhlak, bahkan juga hendaklah mendirikan solat dan sentiasa mempunyai hubungan dengan Allah SWT. Sehingga ketika memimpin dan mengurus negara, para pemimpin sentiasa tetap berhubung dengan Allah SWT.
Ini merupakan asas penting dalam membina jati diri yang berintegriti, dengan sentiasa memohon pertolongan Allah SWT pada setiap rakaat solat. Firman Allah SWT:
﴿بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ١ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ٢ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ٣ مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ٤ إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ٥ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ٦ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ٧﴾
“Dengan menyebutkan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (1); Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. (2); Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (3); (Dia) Yang menguasai Hari Pembalasan. (4); Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan. (5); Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6); (Iaitu) Jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat. (7).” (Surah al-Fatihah: 13)
Setelah berjaya memenangi pilihan raya dan memerintah, PAS telah membuktikan melalui tarbiyah dalam parti dengan membuka pintu 24 jam kepada SPRM untuk menjalankan tugas mereka secara langsung. Mereka dibenarkan bertindak tanpa sebarang halangan terhadap semua Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri dan anggota kerajaan.
Kita mengambil contoh daripada pemimpin PAS yang sudah meninggal dunia kerana orang yang masih hidup tetap masih berada dalam ujian.
Alhamdulillah terbukti integriti Menteri Besar Kelantan yang memimpin selama lebih dua puluh tahun (1959-1978 dan 1990-2013), begitu juga di Terengganu (1959-1961) dan Kedah (2008-2013). Semua pemimpin ini tidak meninggalkan pusaka rumah banglo atau cuba mengambil kesempatan ketika mengecapi kemenangan dan memimpin kerajaan negeri.
Termasuklah sehingga hari ini, pemimpin PAS yang masih hidup dapat membuktikan pentadbiran kerajaan yang bersih daripada rasuah dan salah laku. Begitu juga ketika PAS berada dalam Kerajaan Pusat dari tahun 1973 sehingga tahun 1978, dan kini diuji bersama Kerajaan PN.
PAS juga mewajibkan calon wakil rakyat yang bertanding untuk berbaiah dengan sumpah setia demi Allah SWT. Pada masa yang sama, tidak mengkhianati dasar dan konsep perjuangan, dengan keimanan kepada hukum baiah sebagaimana firman Allah SWT:
﴿إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا١٠﴾
“Bahawasanya orang-orang yang berbaiah (berjanji setia) kepada kalian, sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka sesiapa yang melanggar janjinya nescaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa ke atas dirinya sendiri dan sesiapa menepati janjinya kepada Allah, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 10)
Semua ahli PAS beriman bahawa mereka yang melanggar baiah, atau keluar PAS atau meninggalkan PAS atau dipecat, pasti menerima hukuman Allah SWT di dunia dan akhirat, walaupun tidak terdapat hukuman oleh mahkamah kerajaan di alam dunia.
Ini menjadikan hati orang-orang yang beriman membina integriti diri masing-masing, di samping adanya pemantauan daripada parti. Maka, mereka yang lemah atau bersifat oportunis akan gagal dalam pentarbiyahan, tersingkir atau tercampak keluar daripada bahtera PAS.
Negara berkebajikan yang ditawarkan kepada rakyat berbeza dengan teori ‘welfare state’ daripada Barat yang sempit dan hanya sekadar menjaga kebajikan masyarakat sahaja.
Kebajikan mengikut perspektif Islam merangkumi segala aspek kejadian manusia dan cara hidup dalam hubungannya dengan Allah SWT dan manusia. Bahkan melibatkan juga seluruh anggota masyarakat yang berkonsepkan adil terhadap semua, berpandukan firman Allah SWT:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ٨﴾
“Wahai orang-orang yang beriman hendaklah kalian jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian kalian terhadap sesuatu kaum, mendorong kalian untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ma’idah: 8)
Ayat Allah SWT mewajibkan supaya berlaku adil sekalipun terhadap musuh, maka lebih utama kewajipan untuk berlaku adil terhadap semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum.
Termasuk adil dalam aspek ekonomi yang sangat berkaitan dengan kehidupan rakyat, melibatkan kewajipan antara kerajaan dan rakyat yang berkemampuan tinggi. Sebagaimana perintah Allah SWT melalui firman-Nya:
﴿خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ١٠٣﴾
“Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kalian membersihkan dan mensucikan mereka dan doalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kalian itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Taubah: 103)
Islam mewajibkan supaya hasil negara tidak dimonopoli oleh kalangan ahli politik dan ahli ekonomi yang tertentu sahaja, kerana firman Allah SWT:
﴿مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ٧﴾
“Apa sahaja harta fai’ (yang diambil secara damai) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar antara orang-orang kaya sahaja antara kalian. Apa yang diberikan oleh Rasul kepada kalian, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagi kalian, maka tinggalkanlah. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.” (Surah al-Hasyr: 7)
Konsep berkebajikan mengikut ajaran Islam berbeza dengan teori dan ideologi ciptaan manusia seperti liberal kapitalisme atau komunisme dan sosialisme yang berprinsipkan materialisme dan duniawi semata-mata. Hal yang demikian kerana, ajaran Islam berprinsipkan aqidah beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat mengikut perhitungan dosa dan pahala, dan hukumannya dijatuhkan di dunia sehingga kehidupan selepas meninggal dunia.
Sekali gus perkara ini menegaskan, wujudnya balasan Allah di Hari Akhirat kelak. Adapun pelaksanaannya pula bersifat menyeluruh, sepertimana yang dihuraikan oleh firman Allah SWT:
﴿لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَالْمَلَائِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُولَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ١٧٧﴾
“Bukanlah menghadapkan wajah kalian ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan solat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam perjuangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 177)
Dalam merealisasikan ciri berintegriti dan berkebajikan, maka ia wajib diawasi dengan kehebatan undang-undang bagi mencegah kemungkaran. Tiada siapa pun yang mampu mengatasi undang-undang Allah SWT. Ini menjadi jaminan yang kukuh kepada pelaksanaan yang berintegriti dan berkebajikan.
Percayalah bahawa ucapan integriti tanpa iman, akhlak yang luhur dan kehebatan undang-undang, akan menjadi slogan kosong semata-mata. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh yang terlalu singkat dan cepat, laksana mengata dulang paku serpih.
PAS memulakan langkah terkini dalam menegakkan perpaduan umat Islam dan bukan Islam dalam Perikatan Nasional, dengan menolak fahaman fanatik, ekstrem, liberal yang tidak kuat pegangan agama dan bersikap oportunis.
Perpaduan ummah bukan untuk menyelamatkan parti atau beberapa orang pemimpin, tetapi bersama-sama menyelamatkan negara dan semua rakyat.
PAS sentiasa konsisten memilih demokrasi pilihan raya sebagai pendekatan paling damai walaupun pernah mengalami pengalaman kalah, menang, rebah dan bangun berulang kali sejak ditubuhkan sebelum merdeka.
PAS tetap menolak pendekatan ekstrem di jalan raya dan masuk hutan, sehingga gagal diprovokasikan oleh sesiapa sahaja bagi memangsakan rakyat untuk mendapatkan kuasa.
Terakhir, PAS bersama dalam melakukan perubahan kerajaan daripada PH kepada PN yang dilaksanakan secara demokratik mengikut undang-undang yang sah dan berprinsip. Langkah ini diambil bagi menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 sebagai kerajaan sementara, bukan lagi sebagai pembangkang seperti dahulu.
PAS melangkah menuju PRU-15 bersama tiga model kerajaan negeri dan menyertai kabinet Kerajaan Pusat. Langkahnya sangat panjang, bukan sekadar Langkah Sheraton.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Sya’ban 1442 / 25 Mac 2021