Home Berita PAS Melaka

Menteri Agama sumbang RM2 ribu untuk Masjid Al Hassaniah

421
SHARE

Oleh ZUL SHAM MAHAT

MASJID TANAH, 24 Mac : Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) YB Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri semalam telah menyerahkan sumbangan bernilai RM2000 bagi dana Masjid Al Hasaniah Kuala Sungai Baru.

Sumbangan ini diberikan beliau ketika hadir di situ untuk menyempurnakan penyerahan bantuan kepada asnaf di bawah tajaan program ‘YAPEIM Foodbank’ anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) Negeri Melaka.

Untuk kali ini seramai sepuluh orang asnaf dari kariah masjid ini telah menerima sumbangan tersebut manakala seramai 200 orang asnaf lagi bakal menerimanya dalam masa terdekat.

Terdahulu ketika berucap beliau menggesa agar sasaran menyantuni asnaf dapat dibuat dengan seramai mungkin dan beliau turut melahirkan rasa syukur dapat bekerja dalam suasana yang baik.

“Alhamdulillah saya dapat bekerja dengan agensi-agensi yang memberi kerjasama yang baik.

“Terima kasih juga kepada semua negeri-negeri yang beri kerjasama demi untuk memantapkan lagi agama Islam,” ujar beliau dalam ucapannya dalam majlis ringkas itu

Turut hadir dalam majlis ini ialah Adun Kuala Linggi yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira AR Ismail Othman, Pengarah Kanan di Pejabat Timbalan Ketua Pengarah Operasi YaPEIM, Muhammad Zamri Zakaria dan Pegawai Tinggi Agama Alor Gajah Ustaz Marwadi Shafaei.